Thursday, May 31, 2007

Yang Bertudung Itu Lebih Sombong… ?


Benarkah wanita yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak bertudung ?. Ataupun tudung itu satu isu, dan sombong itu pula satu isu yang lain.

Apabila ada yang berkata, “mengapa Allah masih belum beri jawapan walaupun sudah bertahun aku solat istikharah kepadanya”. Saya terus teringat akan cerita seorang teman kepada teman saya. Katanya, “apabila sekiranya seseorang itu berada didalam keadaan dilema untuk memilih teman(kekasih), mereka rajin solat istikharah, tapi mereka bukannya ketemu jawapan, malah mereka makin serabut dan buntu. Jadi apa kata buat begini. Tuliskan nama-nama orang yang kita dilemakan itu di atas beberapa kepingan kecil kertas, kemudian gulung setiap kertas tadi dan letakkan dibawah sejadah tempat kita mahu lakukan solat istikharah. Kertas yang tertulis nama si dia yang paling kita berkenan sekali, kita letakkan gulungan itu ditempat yang paling hujung sekali(tempat strategik yang paling mudah untuk kita capai). Kemudian dirikanlah solat istikharah dan apabila selesai solat, rabalah tangan dibawah sejadah tadi dan buatlah cabutan terhadap kertas-kertas yang bertulis nama tadi”. Pasti anda dapat jawapannya dan gerenti puas hati.

Saudari pembaca,
Kalau ada yang terkejut, tak mengapa. Saya lebih terkejut dengan soalan-soalan pelik yang mereka ajukan kepada tuhan mereka sendiri. Ini bukanlah bidaah ciptaan teman kepada teman saya itu, tapi dia menunjukkan sikap sinisnya terhadap isu ini. Kita terus-terusan bertanya mengapa panggilan kita tidak disahut tuhan apabila diperlukan. Mengapa tak bertemu dengan jawapan ?, mungkin kita hanya nampak perkara-perkara yang fakta sahaja. Hinggakan hikmah Allah tak mampu kita baca atau tafsir. Allah berfirman didalam surah Al-A’Raaf, ayat yang ke 55 ;

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”

Sememangnya kita menyedari yang sesungguhnya kita ini hanyalah hamba tuhan yang lemah lagi tidak berdaya. Jadi apabila kita menghajati sesuatu, kita meminta pada si dia yang maha kuasa. Tapi adakah ianya kena dengan gaya, cara, diri, sifat, sikap dan adabnya ?. Atau mungkin kalau sekiranya Allah memberikan jawapan secara fakta sekalipun, kita masih seakan tidak nampak kerana jawapan yang diberikan Allah itu tidak selari dengan kehendak si pemohon.

Firman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat 186 memberikan sedikit jawapan kepada soalan tadi. Allah berfirman mafhumnya ;

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya aku(Allah) sentiasa hampir(kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku(dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul”.

Allah berfirman lagi didalam surah yang lain, iaitu dalam surah Al-Ghafir, ayat yang ke 60 ;

Dan Tuhan kamu berfirman : “Berdoalah kamu kepadaku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

Jadi jawapannya ada pada diri si pemohon itu sendiri. Kesombongan, riak dan bongkak akan mencacatkan segalanya. Kalau sekiranya kita kerap ke Masjid, selalu berjemaah dan rajin bersedekah lalu dengan itu kita merasakan yang diri kita sudah cukup benaran baiknya, itulah sebenarnya kesombongan. Dan jika kita merasakan usaha kita sudah cukup gigih, kuat, dan hebat, yang mana cuma Allah sahaja yang masih belum mahu menyahut permohonan dan seruan kita dengan jawapan, maka itulah yang dinamakan riak dan bongkak. Nah, buka lagi mata agar hati kita juga dibuka sama, kerana dalam hal ini, Allah menyatakan dengan jelas sekali didalam surah Al-Alaq, ayat 6-7, Allah menyebut mafhumnya ;

“Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup”.

Iya, benarlah Allah itu menurunkan sesuatu penyakit beserta dengan penawarnya, tetapi penawar itu tidak semestinya ubat. Kerana ia boleh jadi saja dalam bentuk lain seperti hukuman ataupun undang-undang. Namun tujuannya tetap satu, iaitu menjadi penawar kepada penyakit. Begitulah Sunnatullah yang penuh hikmah.

Rasulullah s.a.w ada bersabda ; mafhumnya ;

“Ada tiga perkara yang akan membawa kepada kehancuran : iaitu sifat kikir yang diperturunkan, hawa nafsu yang diikutkan dan kagum terhadap diri sendiri”.

Saudari pembaca,
Biarpun kita mempunyai tiga gulung ijazah sarjanamuda, dua gulung sarjana dan satu PHD. Mana mungkin kesarjanaan, prinsip, kefalsafahan, idea dan bakat kita menafsirkan teori atau membina teori sendiri itu mampu untuk setanding dengan kitab Allah dan wasiat rasulnya.

Jangan kita jadi seperti iblis sepertimana yang dibicarakan oleh Allah didalam surah Al-A’raaf ayat 12 itu. Nasihat jangan dibunuh dengan kesombongan. Takabbur, bangga diri, angkuh dan ponggah adalah penyakit rohani yang makan dalam dan makan tahun untuk diubati. Jadi jangan kita suburinya lagi.

Daripada hujah tadi dipetik maka ada yang bersuara, yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak, ramai dari golongan yang bertudung itu mengaku diri mereka baik dan berugama. Malahan ada juga sekelompok kecil mereka yang rajin solat, puasa, sedekah dan kiammullail merasakan diri mereka sangat-sangat dekat dengan Allah tetapi selalu tertanya-tanya mengapa soalan didalam solat istikharah mereka masih belum terjawab. Tidak kurang juga antara mereka yang menjadi manusia teoritikal lalu dicocok-cocok fikiran mereka kedalam agama. Segalanya difahami dan ditafsir secara harfiahnya sahaja, maka segalanya mesti logik dan boleh diterima akal(termasuklah perkara-perkara yang ghaib, yang tak di capai akal cetek manusia).

Saya akhiri dengan pengakuan Imam As-Syafie yang secara terbuka mengakui bahawasanya dialah manusia yang paling berdosa dimuka bumi ini. Apatah lagi kita…

Takut-takut kalau inilah gejalanya, akan lahirlah nanti lebih ramai Lina Joy di luar sana...

Wednesday, May 30, 2007

Wahai Hizairi...

Saya teringin untuk membawa pembaca untuk terkenang sejenak pada seorang insan unik, seorang manusia luar biasa yang bersungguh dan kuat dengan apa yang diusahakannya. Seorang yang bersungguh-sungguh berjuang dalam apa yang beliau rasa dan percaya. Senantiasa menegakkan prinsip dan falsafahnya demi untuk bangsa, agama dan dunia. Pasti member-member MPR & teman-temannya di UM kenal dengan perangainya. Insan yang saya maksudkan ialah Hizairi Othman, seorang penulis yang juga merupakan anak kepada penulis terkenal iaitu Allahyarham Othman Puteh.

Beliau pernah mengungkapkan perkataan ini ;

"Penulisan ialah keseronokan yang menyeksakan. Digelarkannya suatu kembara diri istimewa yang banyak membantu dalam proses kematangan insan, selain membancuh definisi tersendiri kepada makna kehidupan. Serentak dituntutnya kesabaran, kudrat mental dan fizikal serta visi yang tak pernah surut. Cabarannya menggunung, bergelojak dengan keperluan mutakhir dan menjadi kewajipan penulis yang baik dan sentiasa mahu meningkatkan diri untuk menyahut cabaran terbentang. Karya era baru seharusnya bijak berilmu selain menghibur. Tiba masanya penulis berfikir, bersikap dan bekerja secara profesional, seterusnya dapat disuntik maruah kepada dunia penulisan dan profesion penulis."

Tuhan,
Kemana perginya dia sekarang…

Tuesday, May 29, 2007

Ajak Dan Ajarilah Aku Wahai Musuh !!!


Allah SAW telah berfirman didalam surah A-li Imran ayat 149-150.

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu kebelakang(kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi. Tetapi(ikutilah Allah), Allah-lah pelindungmu dan Dia-lah sebaik-baik penolong.

Ingatan Allah ini telah kita kucilkan saja hari ini. Kita ketepikan sepertimana kita ketepikan hama di riba. Kita butakan mata dan pekakkan telinga dari kalam Allah yang di mahsyurkan sebagai mukjizat teragung buat Baginda Rasulullah SAW.

Umat Islam hari ini berkecenderungan melampau terhadap idea kesarjanaan dan kefalsafahan barat. Dari segenap apa juga segi dan bentuk, baik corak kepimpinan atau politik, sastera atau sains, undang-undang atau hukum, sistem pendidikan atau corak sosial dan masyarakat. Segalanya berkiblatkan barat. Seni dan hiburan kita juga tercorak daripada gelombang revolusi mereka. Maka jadilah kita dalam mereka pada hari ini.

Kemodenan tidak pernah salah pada kita, tapi kitalah yang menzalimi kemodenan itu dengan cara bodoh akibat kejahilan sendiri. Kita mengisi releven zaman dengan perkara-perkara ‘lagha’. Mengimarahkan program-program yang mematikan hati dan memeriahkan slot nasihat dan kejiwaan dengan intisari-intisari yang melemahkan jiwa.

Masyarakat Melayu sejak sekian berzaman dahulu lagi sudah terbudaya dengan makan sireh. Tetapi apabila si ‘Cowboy’ hisap rokok, kita pun nak hisap sama. Bila mereka kata 14 Februari itu adalah hari kekasih, maka kita ramai-ramai beli bunga dan menyambutnya. Ada juga si Muslim moden yang bila tersendawa kenyang, ungkapan “Alhamdulillah” itu diganti pula dengan “Excuse me” sahaja.

Rock lebih baik dari lagu asli, rap lebih menarik dari zapin, hip-hop lebih elok dari joget. Kita menelan semua tonik beracun mereka tanpa guna penapis agama dan jaring rasional budaya. Kebudayaan dan adat sendiri akhirnya jadi mangsa setelah diturunkan darjat oleh pembudayanya sendiri.

Jangankan kata ada rasa cinta pada agama, pada adat dan budaya sendiri sahaja pun tidak sedikit ada perasaan peka. Jadi “Hadhari” apanya kita ni ?. Allah SAW dalam surah A-li Imran ayat yang ke 31-32 ada berfirman ;

Katakanlah, “Jika kamu(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Katakanlah, “Taatilah Allah dan Rasulnya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”.

Saya memetik juga kata-kata seorang Ilmuan Islam Nusantara iaitu Prof. Dr. Hamka, katanya ;

“Ambillah sesuatu yang baik, walaupun ianya datang dari barat, dan buanglah sesuatu yang buruk walaupun ianya datang dari kalangan kamu sendiri”.

Saya setuju dengan Prof. Dr. Hamka. Dan Saya mengakui, tidak semuanya yang datang dari barat itu buruk dan bukan semua yang ada pada kita itu baik.

Jadi saringlah hanya yang terbaik untuk jadi lebih baik dan tinggalkan segala kesesatan yang telah sekian lama mereka sisakan pada kita. Berhentilah daripada merasa hebat dengan segala buah kaki barat. Hentikan daripada terus menerus menzalimi kemodenan dengan sentiasa beralasan dan beridea dangkal terhadapnya.

Friday, May 25, 2007

Anakku Sayang


Tunjukkan kasih sayang pada mereka.
Tunjuki mereka jalan yang benar.
Sesungguhnya mereka berhadapan dengan bahaya yang lebih besar dari bahaya kita.

Thursday, May 24, 2007

Cerita Tentang Pendidikan


Oleh Sofwah

Mudah-mudahan ada yang membaca ruangan ni dan kita sama-sama fikirkan jalan keluarnya. Dan ana khususkan saja pengajian kanak-kanak (kerana harus bermula di peringkat itu) tanpa menyentuh peringkat pengajian tinggi sebab nanti makin panjang lagi nanti komentar ini :)

1. Cara pembelajaran
Ana tak pasti zaman enta dan bagaimana keadaannya di M’sia sebab ana belajar di luar negara… Tapi, cara pembelajaran dalam pendidikan Islam yang pernah ana alami ialah:

Menghafaz segala fakta yang adaKemudian,
peperiksaan
Lupa
Hafaz lagi
Periksa
Lupa lagi
Hafaz
Periksa
Lupa

Begitulah proses pembelajaran zaman itu.Apa yang ana maksudkan berpaksikan tauhid ialah pertama sekali pembelajaran yang bukan berdasarkan hafalan dan peperiksaan tetapi penghayatan yang bermula dengan keimanan. Apabila menghafaz sesuatu hendaklah difahami dan dihayati apa yang dihafalkan. Kekadang, yang dihafaz itu berbagai-bagai, tetapi yang benar-benar dihayati tidak seberapa.

Sebelum ada yang terkeliru, ana ulangi. Bukan langsung jangan hafaz, cuma, harus dengan penghayatan. Cth: Hafaz Qur’an dengan meneroka ulum al-Qur’an sekali dan menghayati mesej Qur’an dalam kehidupan seharian.

Kedua, proses pembelajaran juga harus menekankan ketauhidan daripada tentang hukum. Tanamkan cinta kepada Allah s.w.t dan Rasul s.a.w dari kanak-kanak itu kecil supaya dia ada compass Aqidah. Kemudian, bila diajar halal dan haram, compass Aqidah itu yang akan membantunya. Tak guna, kita katakan berkali-kali haram itu, halal ini, tetapi, pelajar tidak faham kenapa diharamkan atau dihalalkan sesuatu.Ana pernah ditanya oleh mereka yang sudah bekerja dan baru ber”pacaran” tetapi lulusan ugama, “Benar ye, tak boleh pegang tangan? Mengapa, ye?” Inilah aqibah dari menghafaz saja topik halal dan haram tanpa pembinaan aqidah dalaman.

2. Isi Kandungan Pembelajaran
Kekadang, kandungan yang diajarkan tidak mengena atau tidak tepat mengena dengan fasa pembelajaran. Contohnya, pelajar dalam darjah rendah sudah hafaz tentang berbagai jenis zakat. (Zaman ana).Adakah pelajar rendah sudah ada kebun sendiri dan sebagainya untuk bayar zakat?Bukankah, ada kandungan yang lebih penting yang boleh dimuatkan, contohnya, menceritakan rahmah dan kasih sayang Allah kepada mereka supaya mereka sayang dan cinta pada Allah dan Rasulnya.Dari kanak-kanak lagi, kita harus mendedahkan konsep ketauhidan untuk membina compass Aqidah ini.

Sukatan isi kandungan pelajaran bolehlah dikurangkan supaya kita boleh memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip Qur’an dan sunnah dalam kehidupan kanak-kanak itu. Bukan setakat menghafaz seberapa banyak kandungan yang boleh kerana hanya menjadi teori yang tak boleh digunakan. Walau menghafaz segunung teori pun, ana takkan katakan sudah terdidik dengan ciri ketauhidan…Teori tanpa amal sama macam contoh “ilmu bilaa amal…”

3. Metodologi
Hari ini, ada banyak pendekatan pengajaran yang mengambil kira proses pembangunan menyeluruh. Contohnya, teori pendekatan dimana kanak-kanak tidak harus menduduki peperiksaan tetapi diawasi perkembangannya melalu berbagai cara lain. Dengan ini, kanak-kanak tidak perlu menghafaz tetapi guru dan ibu-bapa dapat melihat pengetahuan dan perkembangan peribadi pelajar itu.Di samping itu, melalui metodologi-metodologi terkini, guru dapat memupuk keterbukaan pemikiran, menanam nilai sejagat (perpaduan, kasih-sayang), mentarbiah akhlak dan sebagainya.

Kita fokuskan kepada pembangunan menyeluruh kanak-kanak tersebut. Bukan hanya samada dia dapat menjawab soalan periksa dengan baik.Kalau kita dapat gunakan pendekatan sebegini, mungkin, kita ada harapan melahirkan generasi akandatang yang berpegang teguh Qur’an dan sunnah dan terbuka pemikirannya. Mudah-mudahan hilanglah masalah-masalah yang enta tuliskan didalam blog ini.

4. Persekitaran/konteks
Ada negara-negara lain seperti Pakistan dan India yang mengamalkan system menghafal ini tetapi mereka tetap melahirkan ulama’. Dalam soal ini, bi’ah amat penting. Di Malaysia, kanak-kanak terlalu terdedah kepada pelbagai anasir luaran. Pasti ada huraiannya, inshaAllah, tapi kalau nak bahaskan ini saja, makan ruang lagi :)

5. “Istilah” pendidikan
Adakah “pendidikan Islam” itu suatu proses menghafaz teori mengenai Islam hingga lulus periksa? Atau pendidikan Islam ialah suatu proses membentuk peribadi muslim yang terbaik, mencontohi Rasulullah s.a.w?Apakah falsafah pendidikan Islam?Persoalan-persoalan ini penting dan bolehlah kita lakukan bersama melalui pencarian ilmu dan pembacaan meluas, inshaAllah.

Ada sebuah institut di Malaysia yang sedang melaksanakan sistem pembelajaran yang berbeza daripada pendidikan konvensional:http://www.islamic-world.net/khalifah.phphttp://caliph.wordpress.com/2006/04/ Tak terfikir saat ini kalau ada yang lain. Mungkin kalau sesiapa membaca, boleh membantu dan beritahu...

Ana pernah menghadiri ceramah mereka dan amat tertarik dengan pendekatan mereka kepada pendidikan Islam. Ana pernah sendiri mendengar respons baik dari ibubapa. Walaupun sebagai pendidik berpengalaman, ana rasa banyak lagi yang boleh dielokkan lagi. Ana terima mana yang baik dan ana perbaiki lagi mana yang ana rasa harus diperbaiki.

Begitulah pandangan ana yang cetek ini. Banyak lagi yang tak tertulis kerana isu ini memang isu yang luas…

Terima kasih beri ana peluang bercerita serba sedikit bab pendidikan ni…

Wallahu a’alam.

Wassalam.

*Tulisan ini adalah hasil penulisan seorang blogger ; Sofwah.