Monday, September 10, 2007

Hizbut Tahrir


JAKARTA 9 Sept. – Beribu-ribu pengikut sebuah kumpulan berhaluan radikal yang berazam untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia di bawah pemerintahan khalifah berarak melalui jalan-jalan utama di sini hari ini sempena menyambut ketibaan bulan suci Ramadan minggu ini.

Jurucakap kumpulan Hizbut Tahrir, Ismail Yusanto berkata, Ramadan merupakan masa paling sesuai untuk menyeru umat Islam supaya melaksanakan undang-undang syariah. “Sebahagian daripada undang-undang itu ialah membentuk semula pemerintahan khalifah dan kita semua bertanggungjawab untuk itu,” tegasnya.

Hizbut Tahrir adalah sebuah pertubuhan radikal Sunah yang dipercayai mempunyai kira-kira sejuta anggota dan telah diharamkan di beberapa buah negara Asia serta Arab. Bagaimanapun, satu perhimpunan raksaksa yang dilancarkan oleh kumpulan itu di Indonesia bulan lalu dihadiri oleh 90,000 penyokong dari beberapa negara, termasuk Eropah, Afrika dan Asia Barat.

Walaupun berfahaman radikal, tetapi kumpulan itu tidak menyokong keganasan untuk mencapai matlamatnya.

“Bulan suci Ramadan merupakan satu masa untuk mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh melaksanakan undang-undang syariah secara menyeluruh di bawah sistem demokrasi.

“Ia perlu dilaksanakan di bawah pemerintahan khalifah,” kata Ummu Himmah, yang menyertai perarakan itu bersama-sama suaminya.
– AP



Sumber asal :- Utusan Malaysia (10 September 2007)

No comments: