Seharian semalaman daku fikirkan kelmarin...
Bagaimana kiranya dunia ini tanpamu...
_______________________________________
***
Selawat dan salam untukmu, Ya Muhammad ibni Abdullah...
Selawat dan salam untukmu, Ya Habiballah, Kekasih Allah...
Selawat dan salam untukmu, Ya Rasulullah, Pesuruh Allah...
Perjuanganmu bagikan lilin membakar diri,
Pasrah dirimu pada Ilahi,
Biarpun berjuta rintangan dihadapi,
Biarpun insan akhir zaman seperti kami,
Tidak berdaya menghayati,
Makna pengorbananmu,
Bimbangnya dirimu terhadap kami,
Hingga terbawa-bawa ke alam mimpi,
Biarpun di dalam tidurmu, Wajahmu berkerut seribu,
Basah seluruh tubuhmu, Bukan kerana bahangnya malam,
Tetapi kerana kalimah,
Yang sering terucap di bibirmu,
Di dalam jaga dan mimpi,
... ummati, ummati, ummati...
Demi cintamu kepada kami,
Segala-galanya sanggup dikau tempuhi,
Peperangan Badar, Uhud dan tragedi di Thaif,
Dikau direjam dengan batu dan dilempari najis,
Namun dikau cekalkan hati,
Doamu hanya untuk kami,
...ummati, ummati, ummati...
Begitu mendalamnya kasihmu terhadap kami,
Namun tidak dapat kami menghargai,
Sedangkan puterimu Fatimah saban hari menangis,
Melihat akan keadaan dirimu yang tersangat tragis,
Di pagi hari,
dikau meninggalkan rumahmu dengan berpakaian serba putih,
Di kala senja, putihmu bertukar warna, Menjadi MERAH!!!
Semerah cintamu kepada kami,
...ummati, ummati, ummati...
Selawat dan salam untukmu, Ya Muhammad ibni Abdullah...
Selawat dan salam untukmu, Ya Habiballah,
Kekasih Allah... Selawat dan salam untukmu, Ya Rasulullah, Pesuruh Allah...
***
(Sekuntum puisi yang diilhamkan ManMutiara sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran MSS pada tahun 1999, yang dideklamasikan bersama kumpulan nasyid “Sahibud-Da’wah”.)
No comments:
Post a Comment