Perkataan ‘tanggapan’ di dalam kamus dewan bermaksud apa yang diterima oleh pancaindera, gambaran berupa bayangan dalam hati. Manakala “stigma” pula adalah merupakan istilah bahasa inggeris yang ditakrifkan sebagai stain on a person’s good name or reputation, atau aib: to be branded with the ~ of illegitimacy. Cuba kita hubungkaitkan dua istilah tadi dengan perkataan ‘keadilan’.
Perkataan keadilan adalah berasal daripada kata adjektif iaitu ‘adil’. Perkataan-perkataan lain yang sinonim dengan ‘Adil’ adalah perkataan-perkataan seperti saksama, sama rata, sama berat, tidak berat sebelah, tidak memihak, tidak pilih kasih, berkecuali, seimbang, setimpal, setimbal, setara dan sebanding.
Mengapa pula kena kaitkan ?.
Mengapa pula tanggapan, stigma dan keadilan ini mahu dihubungkaitkan ?. Kerana tanggapan dan stigma itu mampu membunuh keadilan.
Sejak peristiwa pertumpahan darah pertama Qabil dan Habil di atas muka bumi. Bumi semenjak itu senantiasa saja di simbahi dengan darah. Pembunuhan demi pembunuhan tanpa henti. Kematian demi kematian atas sebab perbalahan dan permusuhan di sana sini. Semua yang berlaku itu berasal daripada tanggapan dan stigma yang selalu berjaya membunuh keadilan.
Betulkah keadilan itu mampu dibunuh oleh stigma dan tanggapan ?.
Saya memisalkan hal ini sebagai contoh. Cuba perhatikan. Seorang warga Iran yang datang melancong ke Amerika. Masih bergelar remaja (yang baru tamat pengajian di universiti) dan mahu mencari sesuatu daripada pengembaraannya.
Pengembaraan remaja ini ke Amerika tidak sesukar yang di sangka ( boleh jadi lebih teruk dan lebih sukar lagi pada bila-bila masa saja ). Rupa parasnya saja sudah mendatangkan masalah padanya. Nama dan agama ( Islam ) yang tertera pada passport juga memberikan masalah padanya. Dengan kepayahan bermacam ragam berhadapan dengan segala prosedur di lapangan terbang dia lepas juga akhirnya menjejak kaki di tanah polis dunia itu.
Setelah kenyang makan di sebuah restoran, berpandukan peta ditangan dia berjalan dengan beg besar pengembara yang disandang dibelakang badan menuju ke hotel. Tiba-tiba rentap seorang lelaki berkulit putih tinggi menggalah dileher remaja tadi dari belakang. Dengan pisau di acu di leher, remaja tadi dipaksa untuk menanggalkan beg besar yang digalasnya, dan tidak cukup dengan itu, dia juga dipaksa menyerahkan segala yang dia punya. Habis segala jam, kasut, dompet dan segala pengenalan diri dirampas. Terus lelaki tinggi itu melarikan diri lesap dengan segala barangan yang dirampas. Sah memang remaja itu di rompak.
Dengan perasaan yang keliru jugak ketakutan bercampur dengan rasa sedih dan marah dia menuju ke balai polis bagi melaporkan kejadian tersebut. Namun apabila sesampainya remaja tersebut ke balai polis itu, lain pula jadinya. Dia pula yang disoal siasat, ditanya dengan bermacam-macam soalan yang tiada kene mengena dengan insiden rompakan tersebut. Remaja itu berhadapan dengan satu masalah besar. Dia kini dituduh sebagai pengganas….
Remaja itu dituduh pengganas hanya kerana dia berketurunan arab / parsi. Dia dituduh pengganas hanya kerana nama dan agama yang dibawanya. Dia di tuduh pengganas hanyalah kerana taraf kerakyatannya. Dengan tanggapan itu dan stigma yang lekat melalui propaganda jahat Amerika ke atas rakyat mereka, keadilan pemuda itu pasti akan terbunuh.
Apa kene mengena semua ini dengan kita ?.
Hujung-hujung tahun begini ramai warga kerja kakitangan kerajaan mahupun swasta atau dimana saja organisasi besar atau kecil, pasti teringatkan perkataan ‘bonus’. Bonus ini tidak diberi percuma, tapi sebaliknya ia perlu diukur dengan mutu kerja yang biasanya disebut sebagai ‘performance’. Ada yang panggil ‘appraisal’, ada yang panggil ‘performance appraisal’, ada yang sebut ‘penilaian prestasi’ dan ada juga yang sebut ianya sebagai ‘prime’. Apa pun istilahnya, ini adalah merupakan kayu pengukur yang sangat penting kepada setiap warga pekerja. Disitulah hidup mati mereka dalam organisasi. Dan disini juga keadilan itu selalu terbunuh dek kerana tanggapan dan stigma…
Memang dalam dunia perlu begitu agaknya, perlu ada yang hidup dan perlu ada yang terkorban. Jadi kalau begitu, selamat berperang...
1 comment:
how can you write a so cool blog,i am watting your new post in the future!
Post a Comment