Oleh SYED SHAHRIMAN SYED ALI
SEJAK dunia Islam mengenali dunia percetakan buku, tidak pernah berlaku mana-mana penerbitan yang menimbulkan kegemparan seperti yang berlaku kepada buku al-Islam wa Usul al-Hukm (Dasar-Dasar Pemerintahan Islam). Buku ini terbit pada April 1925 dikarang oleh seorang ulama al-Azhar dan merupakan Ketua Hakim Mahkamah Syariah, di Mansourah, Mesir. Beliau ialah, Syeikh Ali Abd al-Raziq. Buku ini dikritik hebat oleh para ulama kerana idea yang dilontarkan di dalamnya bercanggah dengan Islam. Di samping kritikan itu timbul juga kehairanan masyarakat ketika menatap isi kandungan buku ini, lebih-lebih lagi ia dikarang oleh seorang ulama al-Azhar.
Perkara ini dinyatakan oleh Sa'd Zaghlul, ketika menjadi Perdana Menteri Mesir.
Buku ini cukup ringkas, hanya mengandungi 105 halaman (cetakan asal), tidak termasuk isi kandungan buku (ada enam halaman), indeks (lapan halaman) dan bibliografi (dua halaman) tetapi sarat dengan idea yang menggegarkan seluruh dunia Islam.
Rentetan daripada buku ini juga menyaksikan suatu tindakan drastik oleh Jawatankuasa Badan Kibar Ulama al-Azhar, yang dianggotai 24 ulama kanan al-Azhar pada 12 Ogos 1925, melucutkan jawatan Ali Abd al-Raziq sebagai Hakim Mahkamah Syariah dan gelaran sebagai ulama al-Azhar serta menarik balik segala syahadah yang pernah dikurniakan kepada beliau oleh institusi tertua itu.
Sepanjang abad lalu dan kini, gagasan buku ini masih diperkatakan dan menjadi rujukan dalam ruang pemikiran pencerahan (al-Tanwir) dan pembaharuan (al-Tajdid) malah penulisnya dikaitkan sebagai reformis pemikiran liberal Islam. Iaitu suatu gerakan yang menggoyang akidah umat Islam dan berakarumbikan fahaman sekularisme. Di sekitar tahun 1990-an, timbul keraguan, siapakah sebenar penulis buku ini. Adakah buku ini sebenarnya hasilan pemikiran `Ali Abdul Raziq atau sebaliknya?
Keraguan ini timbul ekoran tampil salah seorang ulama al-Azhar membuat pengakuan bahawa Ali Abdul Raziq menafikan bahawa beliau adalah pengarang sebenar buku ini. Kedua, setelah dibuat semakan dan penelitian semula secara mendalam isi kandungan buku ini, para pengkaji mendapati terdapat kekeliruan di dalamnya. Sama ada dari sudut uslub dan gaya penulisan, fakta sejarah yang tercatat di dalamnya dan tujuan buku ini diterbitkan. Al-Islam wa Usul al-Hukm kembali menggegarkan persada keintelektualan dunia Arab khususnya di Mesir, tempat kelahiran buku ini sesudah pengarangnya meninggal dunia pada tahun 1966.
Pendedahan ini disiarkan oleh akhbar al-Jumhuriah di Mesir pada Jumaat 28 Mei 1993. Laporan ini berdasarkan pengakuan Syeikh Ahmad Musallim, anggota Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar sewaktu beliau bertemu secara individu dengan Syeikh `Ali Abd Al-Raziq sekitar tahun 1940-an. Dalam pertemuan itu, `Ali Abd. al-Raziq mendakwa penulis sebenar buku ini ialah Dr. Toha Hussein iaitu salah seorang tokoh pemikiran liberalisme Arab.Antara soalan yang diajukan di dalam temu bual eksklusif wakil akhbar al-Jumhuriah bersama Syeikh Ahmad Hassan Musallim, ``kenapakah pengakuan ini lambat didedahkan kepada khalayak?'' Di sekitar tahun 40-an `Ali Abd al-Raziq masih lagi hidup begitu juga Dr. Toha Hussein. Pastinya jika perkara ini didedahkan mungkin tanggapan masyarakat terhadap isu ini akan berbeza.
Syeikh Ahmad Hssan menjawab, ``Perkara ini berlaku di sekitar tahun antara 1942 hingga 1948. Ketika itu saya baru sahaja menjawat jawatan di dalam sektor kerajaan sebagai pendakwah bagi daerah Bani Mizar.
Syeikh Ahmad Hssan menjawab, ``Perkara ini berlaku di sekitar tahun antara 1942 hingga 1948. Ketika itu saya baru sahaja menjawat jawatan di dalam sektor kerajaan sebagai pendakwah bagi daerah Bani Mizar.
Pada suatu hari saya dijemput menyampaikan ceramah di mukim al-Mawaddah, kebetulan ia terletak berhampiran dengan mukim Abu Jarh tempat kelahiran Syeikh Ali Abd al-Raziq.
Saya masih ingat lagi, pada hari Khamis selepas solat Asar saya bersiap menuju ke Bani Mizar. Malangnya saya terlepas bas terakhir untuk ke sana. Saya mengambil keputusan ke Abu Jarh untuk meninjau kiranya ada kenderaan sewa di sana, sambil itu mengambil peluang menziarah Sheikh Ali Abd. al-Raziq.
Setibanya saya di rumahnya, kami sempat solat Maghrib bersama. Selesai solat saya lihat beliau bangun menunaikan solat sunat enam rakaat. Beliau memanjangkan bacaan dalam solat begitu juga sewaktu rukuk dan sujud. Terdetik di hati untuk bertanya, lalu saya ajukan soalan kepadanya,'' Wahai Syeikh, bagaimana engkau begitu tekun dan khusyuk menunaikan ibadah sunat, sedangkan engkau adalah pengarang buku al-Islam wa Usul al-Hukm, yang terkenal kerana percanggahannya dengan agama dan mencela akidah Islam?'' Ali Abd. al-Raziq menerawang jauh sejenak, lalu bersuara, ``Adakah benar saya penulis buku itu? Sesungguhnya pengarang sebenar buku itu Dr. Toha Hussein! Saya bertanya minta penjelasan, ``Jika demikian, kenapa ia menisbahkannya kepadamu?''
Beliau menjawab, ``pada mulanya saya juga amat terkejut dengan tindakan Toha Hussein meletakkan namaku sebagai pengarang buku ini. Apabila saya tanyakan sebab beliau berbuat demikian, dengan nada bersahaja beliau menjawab, ``supaya engkau akan menjadi masyhur di mata dunia. Seluruh media massa di dalam mahupun luar negeri akan tertumpu kepadamu untuk membicara dan mendiskusikan idea yang dilontarkan di dalam buku ini.''
Pengakuan Ali Abd. al-Raziq ini amat menggemparkan, apatah lagi ianya didedahkan pula oleh seorang ulama al-Azhar yang dipercayai. Namun tindakan Syeikh Ahmad Hasan Musallim mendedahkan perkara ini setelah bertahun-tahun lamanya memendamkan pengakuan ini juga tidak dapat dipastikan motifnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1997.
Buku ini dianggap pelik kerana penulisnya seorang yang diakui keilmuannya dari sudut agama dan mahupun bahasa kerana terdapat karangan Ali Abd al-Raziq dalam ilmu Balaghah pernah dijadikan teks wajib penuntut al-Azhar. Umum mengetahui, keistimewaan sesebuah buku terletak pada isi kandungan dan gaya penyampaiannya. Namun buku ini dikesan dari sudut penyediaan isi kandungan, menyisir himpunan gaya bahasa tanpa ketelitian, rancunya idea dan hujah, dan terlompat-lompat tanpa kesinambungan gagasan yang padu, tidak melambangkan gaya penulisan buku pengarang-pengarang Arab.
Umpamanya, di dalam buku ini penulis melontarkan kritikan atau menimbulkan kekeliruan, sesudah itu ia menarik balik penyataannya itu dan menafi dan tidak bersetuju dengan pandangannya tadi. Kemudian, penulis beralih ke topik yang lain dengan pelbagai kekeliruan. Ternyata, gaya persembahan sebegini persis penulisan sarjana orientalis.
Menurut Dr. Muhammad Ragab al-Bayumi, menerusi respons beliau bertajuk al-Islam wa Usul al-Hukm fi al-Mizan, yang disiarkan dalam Majalah al-Azhar, bil. 1993 hal. 13, menolak penglibatan Dr. Toha Hussein dalam menghasilkan teks ini. Apa yang berlaku, Ali Abdul Raziq mengadaptasi secara keseluruhan atau kebanyakannya idea-idea penulisan orientalis. Khususnya, cetusan pemikiran Thomas Arnold, menerusi bukunya The Khalifate yang diterbitkan oleh Universiti Oxford pada tahun 1924.
Buku ini ditulis Thomas Arnold sejurus kejayaan Kemal Attaturk menumbangkan sistem khalifah di Turki. Ini dikukuhkan lagi, bahawa Ali Abdul Raziq pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford selama dua tahun, dan berguru dengan dua orang profesor terkemuka di sana iaitu Thomas Arnold dan Samuel Margouliouth yang dikenali membenci Islam.
Dalam keadaan ini apakah rasionalnya buku ini kini, diterbitkan dalam versi terjemahan bahasa Melayu oleh Institut Kajian Dasar (IKD)?
No comments:
Post a Comment