Thursday, May 31, 2007

Yang Bertudung Itu Lebih Sombong… ?


Benarkah wanita yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak bertudung ?. Ataupun tudung itu satu isu, dan sombong itu pula satu isu yang lain.

Apabila ada yang berkata, “mengapa Allah masih belum beri jawapan walaupun sudah bertahun aku solat istikharah kepadanya”. Saya terus teringat akan cerita seorang teman kepada teman saya. Katanya, “apabila sekiranya seseorang itu berada didalam keadaan dilema untuk memilih teman(kekasih), mereka rajin solat istikharah, tapi mereka bukannya ketemu jawapan, malah mereka makin serabut dan buntu. Jadi apa kata buat begini. Tuliskan nama-nama orang yang kita dilemakan itu di atas beberapa kepingan kecil kertas, kemudian gulung setiap kertas tadi dan letakkan dibawah sejadah tempat kita mahu lakukan solat istikharah. Kertas yang tertulis nama si dia yang paling kita berkenan sekali, kita letakkan gulungan itu ditempat yang paling hujung sekali(tempat strategik yang paling mudah untuk kita capai). Kemudian dirikanlah solat istikharah dan apabila selesai solat, rabalah tangan dibawah sejadah tadi dan buatlah cabutan terhadap kertas-kertas yang bertulis nama tadi”. Pasti anda dapat jawapannya dan gerenti puas hati.

Saudari pembaca,
Kalau ada yang terkejut, tak mengapa. Saya lebih terkejut dengan soalan-soalan pelik yang mereka ajukan kepada tuhan mereka sendiri. Ini bukanlah bidaah ciptaan teman kepada teman saya itu, tapi dia menunjukkan sikap sinisnya terhadap isu ini. Kita terus-terusan bertanya mengapa panggilan kita tidak disahut tuhan apabila diperlukan. Mengapa tak bertemu dengan jawapan ?, mungkin kita hanya nampak perkara-perkara yang fakta sahaja. Hinggakan hikmah Allah tak mampu kita baca atau tafsir. Allah berfirman didalam surah Al-A’Raaf, ayat yang ke 55 ;

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”

Sememangnya kita menyedari yang sesungguhnya kita ini hanyalah hamba tuhan yang lemah lagi tidak berdaya. Jadi apabila kita menghajati sesuatu, kita meminta pada si dia yang maha kuasa. Tapi adakah ianya kena dengan gaya, cara, diri, sifat, sikap dan adabnya ?. Atau mungkin kalau sekiranya Allah memberikan jawapan secara fakta sekalipun, kita masih seakan tidak nampak kerana jawapan yang diberikan Allah itu tidak selari dengan kehendak si pemohon.

Firman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat 186 memberikan sedikit jawapan kepada soalan tadi. Allah berfirman mafhumnya ;

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya aku(Allah) sentiasa hampir(kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku(dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul”.

Allah berfirman lagi didalam surah yang lain, iaitu dalam surah Al-Ghafir, ayat yang ke 60 ;

Dan Tuhan kamu berfirman : “Berdoalah kamu kepadaku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

Jadi jawapannya ada pada diri si pemohon itu sendiri. Kesombongan, riak dan bongkak akan mencacatkan segalanya. Kalau sekiranya kita kerap ke Masjid, selalu berjemaah dan rajin bersedekah lalu dengan itu kita merasakan yang diri kita sudah cukup benaran baiknya, itulah sebenarnya kesombongan. Dan jika kita merasakan usaha kita sudah cukup gigih, kuat, dan hebat, yang mana cuma Allah sahaja yang masih belum mahu menyahut permohonan dan seruan kita dengan jawapan, maka itulah yang dinamakan riak dan bongkak. Nah, buka lagi mata agar hati kita juga dibuka sama, kerana dalam hal ini, Allah menyatakan dengan jelas sekali didalam surah Al-Alaq, ayat 6-7, Allah menyebut mafhumnya ;

“Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup”.

Iya, benarlah Allah itu menurunkan sesuatu penyakit beserta dengan penawarnya, tetapi penawar itu tidak semestinya ubat. Kerana ia boleh jadi saja dalam bentuk lain seperti hukuman ataupun undang-undang. Namun tujuannya tetap satu, iaitu menjadi penawar kepada penyakit. Begitulah Sunnatullah yang penuh hikmah.

Rasulullah s.a.w ada bersabda ; mafhumnya ;

“Ada tiga perkara yang akan membawa kepada kehancuran : iaitu sifat kikir yang diperturunkan, hawa nafsu yang diikutkan dan kagum terhadap diri sendiri”.

Saudari pembaca,
Biarpun kita mempunyai tiga gulung ijazah sarjanamuda, dua gulung sarjana dan satu PHD. Mana mungkin kesarjanaan, prinsip, kefalsafahan, idea dan bakat kita menafsirkan teori atau membina teori sendiri itu mampu untuk setanding dengan kitab Allah dan wasiat rasulnya.

Jangan kita jadi seperti iblis sepertimana yang dibicarakan oleh Allah didalam surah Al-A’raaf ayat 12 itu. Nasihat jangan dibunuh dengan kesombongan. Takabbur, bangga diri, angkuh dan ponggah adalah penyakit rohani yang makan dalam dan makan tahun untuk diubati. Jadi jangan kita suburinya lagi.

Daripada hujah tadi dipetik maka ada yang bersuara, yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak, ramai dari golongan yang bertudung itu mengaku diri mereka baik dan berugama. Malahan ada juga sekelompok kecil mereka yang rajin solat, puasa, sedekah dan kiammullail merasakan diri mereka sangat-sangat dekat dengan Allah tetapi selalu tertanya-tanya mengapa soalan didalam solat istikharah mereka masih belum terjawab. Tidak kurang juga antara mereka yang menjadi manusia teoritikal lalu dicocok-cocok fikiran mereka kedalam agama. Segalanya difahami dan ditafsir secara harfiahnya sahaja, maka segalanya mesti logik dan boleh diterima akal(termasuklah perkara-perkara yang ghaib, yang tak di capai akal cetek manusia).

Saya akhiri dengan pengakuan Imam As-Syafie yang secara terbuka mengakui bahawasanya dialah manusia yang paling berdosa dimuka bumi ini. Apatah lagi kita…

Takut-takut kalau inilah gejalanya, akan lahirlah nanti lebih ramai Lina Joy di luar sana...

Wednesday, May 30, 2007

Wahai Hizairi...

Saya teringin untuk membawa pembaca untuk terkenang sejenak pada seorang insan unik, seorang manusia luar biasa yang bersungguh dan kuat dengan apa yang diusahakannya. Seorang yang bersungguh-sungguh berjuang dalam apa yang beliau rasa dan percaya. Senantiasa menegakkan prinsip dan falsafahnya demi untuk bangsa, agama dan dunia. Pasti member-member MPR & teman-temannya di UM kenal dengan perangainya. Insan yang saya maksudkan ialah Hizairi Othman, seorang penulis yang juga merupakan anak kepada penulis terkenal iaitu Allahyarham Othman Puteh.

Beliau pernah mengungkapkan perkataan ini ;

"Penulisan ialah keseronokan yang menyeksakan. Digelarkannya suatu kembara diri istimewa yang banyak membantu dalam proses kematangan insan, selain membancuh definisi tersendiri kepada makna kehidupan. Serentak dituntutnya kesabaran, kudrat mental dan fizikal serta visi yang tak pernah surut. Cabarannya menggunung, bergelojak dengan keperluan mutakhir dan menjadi kewajipan penulis yang baik dan sentiasa mahu meningkatkan diri untuk menyahut cabaran terbentang. Karya era baru seharusnya bijak berilmu selain menghibur. Tiba masanya penulis berfikir, bersikap dan bekerja secara profesional, seterusnya dapat disuntik maruah kepada dunia penulisan dan profesion penulis."

Tuhan,
Kemana perginya dia sekarang…

Tuesday, May 29, 2007

Ajak Dan Ajarilah Aku Wahai Musuh !!!


Allah SAW telah berfirman didalam surah A-li Imran ayat 149-150.

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu kebelakang(kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi. Tetapi(ikutilah Allah), Allah-lah pelindungmu dan Dia-lah sebaik-baik penolong.

Ingatan Allah ini telah kita kucilkan saja hari ini. Kita ketepikan sepertimana kita ketepikan hama di riba. Kita butakan mata dan pekakkan telinga dari kalam Allah yang di mahsyurkan sebagai mukjizat teragung buat Baginda Rasulullah SAW.

Umat Islam hari ini berkecenderungan melampau terhadap idea kesarjanaan dan kefalsafahan barat. Dari segenap apa juga segi dan bentuk, baik corak kepimpinan atau politik, sastera atau sains, undang-undang atau hukum, sistem pendidikan atau corak sosial dan masyarakat. Segalanya berkiblatkan barat. Seni dan hiburan kita juga tercorak daripada gelombang revolusi mereka. Maka jadilah kita dalam mereka pada hari ini.

Kemodenan tidak pernah salah pada kita, tapi kitalah yang menzalimi kemodenan itu dengan cara bodoh akibat kejahilan sendiri. Kita mengisi releven zaman dengan perkara-perkara ‘lagha’. Mengimarahkan program-program yang mematikan hati dan memeriahkan slot nasihat dan kejiwaan dengan intisari-intisari yang melemahkan jiwa.

Masyarakat Melayu sejak sekian berzaman dahulu lagi sudah terbudaya dengan makan sireh. Tetapi apabila si ‘Cowboy’ hisap rokok, kita pun nak hisap sama. Bila mereka kata 14 Februari itu adalah hari kekasih, maka kita ramai-ramai beli bunga dan menyambutnya. Ada juga si Muslim moden yang bila tersendawa kenyang, ungkapan “Alhamdulillah” itu diganti pula dengan “Excuse me” sahaja.

Rock lebih baik dari lagu asli, rap lebih menarik dari zapin, hip-hop lebih elok dari joget. Kita menelan semua tonik beracun mereka tanpa guna penapis agama dan jaring rasional budaya. Kebudayaan dan adat sendiri akhirnya jadi mangsa setelah diturunkan darjat oleh pembudayanya sendiri.

Jangankan kata ada rasa cinta pada agama, pada adat dan budaya sendiri sahaja pun tidak sedikit ada perasaan peka. Jadi “Hadhari” apanya kita ni ?. Allah SAW dalam surah A-li Imran ayat yang ke 31-32 ada berfirman ;

Katakanlah, “Jika kamu(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu”. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Katakanlah, “Taatilah Allah dan Rasulnya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir”.

Saya memetik juga kata-kata seorang Ilmuan Islam Nusantara iaitu Prof. Dr. Hamka, katanya ;

“Ambillah sesuatu yang baik, walaupun ianya datang dari barat, dan buanglah sesuatu yang buruk walaupun ianya datang dari kalangan kamu sendiri”.

Saya setuju dengan Prof. Dr. Hamka. Dan Saya mengakui, tidak semuanya yang datang dari barat itu buruk dan bukan semua yang ada pada kita itu baik.

Jadi saringlah hanya yang terbaik untuk jadi lebih baik dan tinggalkan segala kesesatan yang telah sekian lama mereka sisakan pada kita. Berhentilah daripada merasa hebat dengan segala buah kaki barat. Hentikan daripada terus menerus menzalimi kemodenan dengan sentiasa beralasan dan beridea dangkal terhadapnya.

Friday, May 25, 2007

Anakku Sayang


Tunjukkan kasih sayang pada mereka.
Tunjuki mereka jalan yang benar.
Sesungguhnya mereka berhadapan dengan bahaya yang lebih besar dari bahaya kita.

Thursday, May 24, 2007

Cerita Tentang Pendidikan


Oleh Sofwah

Mudah-mudahan ada yang membaca ruangan ni dan kita sama-sama fikirkan jalan keluarnya. Dan ana khususkan saja pengajian kanak-kanak (kerana harus bermula di peringkat itu) tanpa menyentuh peringkat pengajian tinggi sebab nanti makin panjang lagi nanti komentar ini :)

1. Cara pembelajaran
Ana tak pasti zaman enta dan bagaimana keadaannya di M’sia sebab ana belajar di luar negara… Tapi, cara pembelajaran dalam pendidikan Islam yang pernah ana alami ialah:

Menghafaz segala fakta yang adaKemudian,
peperiksaan
Lupa
Hafaz lagi
Periksa
Lupa lagi
Hafaz
Periksa
Lupa

Begitulah proses pembelajaran zaman itu.Apa yang ana maksudkan berpaksikan tauhid ialah pertama sekali pembelajaran yang bukan berdasarkan hafalan dan peperiksaan tetapi penghayatan yang bermula dengan keimanan. Apabila menghafaz sesuatu hendaklah difahami dan dihayati apa yang dihafalkan. Kekadang, yang dihafaz itu berbagai-bagai, tetapi yang benar-benar dihayati tidak seberapa.

Sebelum ada yang terkeliru, ana ulangi. Bukan langsung jangan hafaz, cuma, harus dengan penghayatan. Cth: Hafaz Qur’an dengan meneroka ulum al-Qur’an sekali dan menghayati mesej Qur’an dalam kehidupan seharian.

Kedua, proses pembelajaran juga harus menekankan ketauhidan daripada tentang hukum. Tanamkan cinta kepada Allah s.w.t dan Rasul s.a.w dari kanak-kanak itu kecil supaya dia ada compass Aqidah. Kemudian, bila diajar halal dan haram, compass Aqidah itu yang akan membantunya. Tak guna, kita katakan berkali-kali haram itu, halal ini, tetapi, pelajar tidak faham kenapa diharamkan atau dihalalkan sesuatu.Ana pernah ditanya oleh mereka yang sudah bekerja dan baru ber”pacaran” tetapi lulusan ugama, “Benar ye, tak boleh pegang tangan? Mengapa, ye?” Inilah aqibah dari menghafaz saja topik halal dan haram tanpa pembinaan aqidah dalaman.

2. Isi Kandungan Pembelajaran
Kekadang, kandungan yang diajarkan tidak mengena atau tidak tepat mengena dengan fasa pembelajaran. Contohnya, pelajar dalam darjah rendah sudah hafaz tentang berbagai jenis zakat. (Zaman ana).Adakah pelajar rendah sudah ada kebun sendiri dan sebagainya untuk bayar zakat?Bukankah, ada kandungan yang lebih penting yang boleh dimuatkan, contohnya, menceritakan rahmah dan kasih sayang Allah kepada mereka supaya mereka sayang dan cinta pada Allah dan Rasulnya.Dari kanak-kanak lagi, kita harus mendedahkan konsep ketauhidan untuk membina compass Aqidah ini.

Sukatan isi kandungan pelajaran bolehlah dikurangkan supaya kita boleh memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip Qur’an dan sunnah dalam kehidupan kanak-kanak itu. Bukan setakat menghafaz seberapa banyak kandungan yang boleh kerana hanya menjadi teori yang tak boleh digunakan. Walau menghafaz segunung teori pun, ana takkan katakan sudah terdidik dengan ciri ketauhidan…Teori tanpa amal sama macam contoh “ilmu bilaa amal…”

3. Metodologi
Hari ini, ada banyak pendekatan pengajaran yang mengambil kira proses pembangunan menyeluruh. Contohnya, teori pendekatan dimana kanak-kanak tidak harus menduduki peperiksaan tetapi diawasi perkembangannya melalu berbagai cara lain. Dengan ini, kanak-kanak tidak perlu menghafaz tetapi guru dan ibu-bapa dapat melihat pengetahuan dan perkembangan peribadi pelajar itu.Di samping itu, melalui metodologi-metodologi terkini, guru dapat memupuk keterbukaan pemikiran, menanam nilai sejagat (perpaduan, kasih-sayang), mentarbiah akhlak dan sebagainya.

Kita fokuskan kepada pembangunan menyeluruh kanak-kanak tersebut. Bukan hanya samada dia dapat menjawab soalan periksa dengan baik.Kalau kita dapat gunakan pendekatan sebegini, mungkin, kita ada harapan melahirkan generasi akandatang yang berpegang teguh Qur’an dan sunnah dan terbuka pemikirannya. Mudah-mudahan hilanglah masalah-masalah yang enta tuliskan didalam blog ini.

4. Persekitaran/konteks
Ada negara-negara lain seperti Pakistan dan India yang mengamalkan system menghafal ini tetapi mereka tetap melahirkan ulama’. Dalam soal ini, bi’ah amat penting. Di Malaysia, kanak-kanak terlalu terdedah kepada pelbagai anasir luaran. Pasti ada huraiannya, inshaAllah, tapi kalau nak bahaskan ini saja, makan ruang lagi :)

5. “Istilah” pendidikan
Adakah “pendidikan Islam” itu suatu proses menghafaz teori mengenai Islam hingga lulus periksa? Atau pendidikan Islam ialah suatu proses membentuk peribadi muslim yang terbaik, mencontohi Rasulullah s.a.w?Apakah falsafah pendidikan Islam?Persoalan-persoalan ini penting dan bolehlah kita lakukan bersama melalui pencarian ilmu dan pembacaan meluas, inshaAllah.

Ada sebuah institut di Malaysia yang sedang melaksanakan sistem pembelajaran yang berbeza daripada pendidikan konvensional:http://www.islamic-world.net/khalifah.phphttp://caliph.wordpress.com/2006/04/ Tak terfikir saat ini kalau ada yang lain. Mungkin kalau sesiapa membaca, boleh membantu dan beritahu...

Ana pernah menghadiri ceramah mereka dan amat tertarik dengan pendekatan mereka kepada pendidikan Islam. Ana pernah sendiri mendengar respons baik dari ibubapa. Walaupun sebagai pendidik berpengalaman, ana rasa banyak lagi yang boleh dielokkan lagi. Ana terima mana yang baik dan ana perbaiki lagi mana yang ana rasa harus diperbaiki.

Begitulah pandangan ana yang cetek ini. Banyak lagi yang tak tertulis kerana isu ini memang isu yang luas…

Terima kasih beri ana peluang bercerita serba sedikit bab pendidikan ni…

Wallahu a’alam.

Wassalam.

*Tulisan ini adalah hasil penulisan seorang blogger ; Sofwah.

Tuesday, May 22, 2007

Salah Pendidikan ?

Kalau mahu seks, ada yang berikan kondom percuma,
Kalau mahu menagih, ada yang berikan jarum percuma,
Kalau mahu merempit, ada yang berikan trek percuma,
Pendidikan, dimana silapnya ?

Monday, May 21, 2007

Sampai kapan Lagi Nih !!!


Hammas bunuh Fattah
Fattah bunuh Hammas
Mari kita banyakkan doa dan lebihkan solat hajat buat mereka
PERPADUAN, PERPADUAN, PERPADUAN
Ummat Islam perlukan suntikan ini
Amin

Friday, May 18, 2007

Jumaat


Jumaat… Engkaulah penghulu segala hari, di dalam engkaulah Allah melimpah dan menaburkan segala kurniaannya, hari dimana nabi Adam a.s. di cipta, hari dimana segala doa dan permohonan dikabulkan, engkaulah hari yang dijanjikan Allah dimana peristiwa kiamat akan berlaku, dan Allah akan mengizinkan ahli-ahli syurga untuk mengunjungi syurga mereka. Jumaat… para Malaikat menamai engkau sebagai hari penambahan dek kerana keterlaluan banyaknya pintu rahmat yang dibuka pada hari ini, hari Jumaat.

Hari ini hari Jumaat. Ada sedikit cerita mengenainya ;

Setibanya Rasulullah s.a.w dan rombongan sahabat di Madinah. Rasulullah s.a.w tinggal di satu tempat yang bernama Quba. Rasulullah s.a.w menetap di Quba selama empat hari. Di Quba, Rasulullah s.a.w telah mendirikan sebuah masjid yang dinamai Masjid Quba. Rasululullah s.a.w keluar dari Quba pada hari Jumaat, dan apabila masuknya waktu Zohor, Rasulullah s.a.w mengerjakan solat Jumaat bersama dengan rombongan sahabat di masjid keluarga Banu Salim Bin Auf. Solat Jumaat itu adalah solat Jumaat yang pertama kali dilakukan di Madinah.

Hari ini hari Jumaat. Ada sedikit cerita ironi mengenainya ;

Hadiah Jumaat ini di calari dengan keingkaran hamba Tuhan yang lebih senang betah di restoran atau “Shopping Mall” daripada rumah Tuhan mereka. Merekalah lelaki-lelaki belia yang gagah dan kuat berjasa pada negara. Ada yang masih berjual dan berbelian, ada yang redakan desakan minda dengan jalan-jalan, ada yang tenangkan hati yang gundah dengan lepak-lepak sambil cuci mata. Yang bercinta ‘berdating’ dan yang resah pula berjuang di arkid-arkid permainan video. Al-Jumu’ah ayat 9, tak ketemukah kita ?

Hari ini hari Jumaat, Ada bermacam cerita mengenainya.

Wednesday, May 16, 2007

Selamat Hari Guru - Terima Kasih Cikgu


Terima Kasih Akan Jasamu Wahai Guru
Terima Kasih Pada Cikgu Nurfadia Binti Mohamed Radzuan Atas Jasa Dan Bakti Perguruanmu Atasku

Tuesday, May 15, 2007

Mazhab Dan Aliran Sesat – Wahai Sang Bloggers Jangan Berdiam Lagi !!!



Tahniah kepada sebuah akhbar aliran perdana kerana telah membuat pendedahan mengenai kegiatan segelintir orang-orang seni yang menyebarkan fahaman karut melalui karya-karya mereka(sudah sekian lama saya menantikannya). Inilah yang saya sebutkan sebagai karya-karya bermazhab sesat yang sarat dengan mesej-mesej yang menyesatkan(ada dalam entri mengislamkan panggung).

Memang karya mereka indah dan menyeronokkan, manakan tidak, kalau melayari kehidupan di dunia bagaikan syurga pasti saja segalanya seperti berada di alam pelangi. Garapan dan skema sentuhan berunsur ‘trend’ yang sememangnya menjadi anutan belia masakini menjadikan karya mereka berada pada piawai yang baik, relevan, menarik dan dirasakan dekat dengan masyarakat khususnya golongan ‘target’ mereka iaitu remaja.

Berbangsa Melayu dan dilahirkan sebagai Islam. Mereka ini memilih fahaman ‘freethinker’ sebagai pengganti kepada agama mereka. Dengan berlatarbelakang pendidikan yang baik, mereka memperjuang hidup sebagai orang seni. Penulis, penyajak, pelakon, pengarah, pemuzik jalanan atau artis seni visual, sesungguhnya mereka adalah insan seni yang kreatif, sensitif, halus dan dekat dengan masyarakat. Mereka juga dikenali sebagai manusia yang mempunyai daya juang yang tinggi.

‘Freethinker’ beraliran agnostik, atheis atau rasionalis, mereka kebanyakannya terpengaruh dengan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Soren Kierkegaard, Lord Byron, Karl Marx dan beberapa tokoh lain lagi. Dengan menjadikan karya penulisan beberapa tokoh tadi selain buku-buku penulis berhaluan kiri Indonesia sebagai ‘kitab’, mereka ini juga dipercayai mendapat bantuan kewangan daripada NGO luar negara yang sentiasa memberikan insentif kepada sesiapa sahaja yang mahu merosak, mencemar dan memusnahkan Islam dan PERPADUANnya serta nilai budaya dalam masyarakat timur.

Mempercayai bahawa tuhan tidak wujud dan manusia berkuasa penuh terhadap nasibnya sendiri, mereka ini memperjuangkan apa yang mereka imani, didalam nashkah-nashkah teater dan penulisan drama, filem dan blog mereka. Mereka juga bergerak sebagai aktivis dan pejuang hak asasi manusia yang merasakan masyarakat Melayu Islam di Malaysia kini dihambat oleh hukum agama dan budaya timur yang sudah ketinggalan zaman.

Nah… Saudara saudari ku, apa yang kalian tunggu lagi…
Saya mengambil kesimpulan yang dibuat oleh Imam Habib Abdullah Haddad dalam satu kitab karangannya-‘An-Nashaaih Ad-Diniyah Wal-Washaaya Al-Imaaniyah”, Bab-Bagaimana Mengubah Munkar ?. Imam Habib Abdullah Haddad menyimpulkan seseorang itu hendaklah menjalankan tugas amar ma’aruf nahi munkar dengan apa cara perlaksanaan sekalipun. Hendaklah kita sentiasa membela agama kita yang suci, dan jangan sekali-kali mencari alasan yang tidak betul untuk meninggalkan tugas ini sama sekali, kerana tidak ada jalan lain lagi bagi kita untuk meninggalkan sesuatu yang telah diwajibkan Allah.

Saya mengambil tiga nas sebagai hujjah bagi menyokong sikap saya terhadap apa yang dikatakan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad. Allah berfirman didalam surah Luqman: ayat yang ke 17 ;

“Perintahlah orang supaya berbuat baik dan laranglah ia dari berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.”

Dalam Surah Al-Imran ; ayat yang ke 104 dan 110 ; Allah berfirman lagi ;

“Wajiblah ada di antara kamu sesuatu umat(golongan) yang menyeru(manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat yang baik dan melarang berbuat jahat. Mereka itulah orang-orang yang berjaya(bahagia).”
(Al-Imran : 104)

“Kamu sekelian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan, dan kamu beriman kepada Allah.”
(Al-Imran : 110)

Saudara saudariku,
Sesungguhnya kelompok golongan yang menyesatkan ini sedang giat mengatur strategi dalam gerakan mereka. Sungguhpun kumpulan ini masih dianggap minoriti dan dianggap tidak merbahaya oleh sesetengah pihak, mereka tetap masih punyai taring dan misi penyebaran yang sudah terbukti berhasil.

Sedang kita sibuk dengan dunia, mengejar kedudukan, pangkat dan harta. Jangan pula kita buat-buat buta akan azab zaman moden yang dibawa oleh ejen-ejen musuh ini. Fikirkanlah masa depan anak-anak kita. Mereka yang dibuai dengan keseronokan dan hiburan, seharusnya dipaut dan diikat dengan prinsip, kesarjanaan dan kefalsafahan agama. Mudah-mudahan mereka kebal dengan peluru-peluru musuh nanti.

Marilah kita bersama buat kerja untuk agama. Suburkan nilai semangat Islam dalam personaliti, prinsip, keluarga, masyarakat, pimpinan dan kerja sehingga tersebar ke nashkah-nashkah penulisan, pentas, drama, filem dan segala apa juga hasilan seni yang dekat dengan masyarakat ini. Agar akhirnya nanti seruan Ad-Din yang di bawa Islam dalam kehidupan masyarakat tertegak kukuh kembali.

Marilah kita bersama-sama memartabat dan memperkasakan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam gerakan pembudayaan syariat – Jangan durhakai Allah dan Rasulnya lagi.

Bersama awas dan perangi mereka… Allahuakbar !!!


* Semoga lebih ramai blogger yang sentiasa menyelitkan mesej-mesej Islam dalam blog mereka.

Monday, May 14, 2007

Fitnah Dan Tuannya


Pembuat fitnah ada dimana saja...
Hati-hati dan berhati-hatilah ...

Saturday, May 12, 2007

Selamat Hari Ibu

Ibu, ibu
Engkaulah ratu hatiku
Bila ku berduka
Engkau hiburkan selalu
Ibu, ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempat menyatakan kasih
Wahai ibu
Betapa tidak hanya engkaulah
Yang menyinari hidupku
Sepanjang masa engkau berkorban
Tidak putusnya bagai air lalu
Ibu, ibu
Engkaulah ratu hatiku
Tempatku menyerahkan kasih
Wahai ibu

Friday, May 11, 2007

Jalan Yang DiHalang-Siapa Yang Bodoh Dan Siapa Yang Diperbodoh



Di dalam entri saya sebelum ini-iaitu entri “Jalan Yang Secara Bodoh DiHalang ; Siapa ?”. Secara sengaja saya tonjolkan sikap orang kita hari ini yang mendurhakai nabi serta memperlekehkan apa yang Baginda Rasulullah s.a.w sabda dan wasiatkan kepada kita ummatnya.

Kali ini, saya memperlihatkan lagi sebuah catitan hitam tentang kejahilan kita. Atau mungkin saja kali ini kita mendurhakai Allah pula. Apa ceritanya, begini…, Allah berfirman di dalam surah Al-Imraan, ayat yang ke 28 ;

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan(larangan) yang demikian maka tiadalah ia(mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu yang bahaya yang ditakuti dari pihak mereka(yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya(menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali”.

Allah secara terang-terangan menjelaskan kepada kita(orang Islam) tentang perintahnya, supaya memilih pemimpin dari kalangan kita sendiri(orang Islam). Jadi mengapa hari ini kita mengangkat dan menyerahkan amanah kepimpinan kita kepada seorang hindu, seorang buddha atau kepada seorang kristian bagi mewakili suara untuk memperjuangkan hak kita ?.

Imam Al-Ghazali di dalam sebuah kitabnya-“Bidayatul Hidayah”, menjelaskan tentang kewajipan orang-orang beriman untuk mengimani ‘Shirath’ dan ‘Telaga Al-Haudh’ ;

Shirath – Shirath adalah jambatan yang terentang di atas tengah-tengah neraka jahannam. Ia lebih tajam daripada pedang dan lebih halus daripada rambut. Dengan kehendak Allah, maka tergelincirlah tumit dan kaki orang-orang kafir dan mereka jatuh ke neraka Jahannam. Tetapi dengan kurnia Allah, akan tetaplah diatasnya segala tumit dan kaki orang-orang yang mukmin. Maka dipersilakanlah mereka memasuki syurga – negeri yang abadi.

Telaga Al-Haudh – Al-Haudh ialah telaga Nabi Muhammad s.a.w yang didatangkan dari syurga. Airnya akan diminum oleh orang-orang mukmin setelah melintasi Shirath sebelum mereka memasuki syurga. Dengan seteguk sahaja kita tidak akan dahaga buat selama-lamanya. Keluasan telaga itu adalah dikirakan perjalanan satu bulan lamanya. Airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Disekelilingnya disediakan cangkir-cangkir sebanyak bilangan bintang-gemilang di langit. Terdapat dua saliran air yang mengalir masuk ke dalamnya yang berpunca daripada telaga Al-Kautsar.

Dengan pendurhakaan ini adakah kita mampu lepas dari Jambatan Shirath dan mendapat syafaat Baginda Nabi dengan meneguk air dari Telaga Al-Haudh ?. Dengan pendurhakaan terhadap firman dan perintah Allah, juga pendurhakaan terhadap sabda dan wasiat Rasulullah s.a.w, mari kita sama-sama muhasabah dan tanyakan pada diri, hamba dan ummat jenis apakah kita ini ?. Mengakui beriman dan bertuhan tapi ingkar. Mengakui beriman dan berasul tapi curang.

Adakah kita mahu mencontohi negara Palestin, yang secara kronologi dari sejarahnya sekiranya dilihat, apa yang berlaku pada mereka hari ini adalah kerana kesilapan mereka yang lampau. Ini kerana mereka memberikan amanah dan hak kekuasan kepada orang Yahudi. Kita tahu “Think Tank” Israel pada waktu itu secara muslihat telah dengan sengaja menaikkan harga hartanah di Palestin, maka berbondong-bondonglah rakyat Palestin menjualkan tanah mereka kepada orang-orang Yahudi kerana mahukan imbuhan wang yang banyak, hinggakan ulama di sana pada waktu itu terpaksa mengeluarkan fatwa bahawasanya perbuatan jual beli itu adalah tidak sah dan haram. Dan apabila suara ulama dibakul sampahkan, maka hasilnya terlihatlah pada negara Palestin hari ini-Inikah yang mahu kita contohi ?.

Saudara-saudaraku, janganlah kalian mendengar pada suara-suara serong. Kerana orang-orang yang bersuara serong ini telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana berbunyi ;
“Aku, selain daripada dajjal yang aku lebih takuti kamu akan terpikat kepadanya itu. “Siapakah dia itu wahai Rasulullah ?”, tanya seorang sahabat yang hadir. “ iaitulah ulama ‘us-su’-ahli ilmu yang jahat”. Jelas baginda”.

Jadi, janganlah kita terpedaya lagi.

Saya mengakhiri entri ini dengan memetik satu ungkapan yang pernah diucapkan oleh seorang ulama terkenal dari Indonesia, iaitu Kiai Haji Zainuddin M.Z. beliau dipetik sebagai berkata ;

“Islam pada hari ini ibarat seperti daun pisang dikala hari hujan…
Yang mana bila hari hujan orang akan mengambil daun pisang bagi dijadikan payung…
Dan apabila usailah hujan…
Maka daun pisang tadi pun dicampakkan dijalanan, dicampak tak bernilai…
Dan dipijak pula oleh orang-orang yang lalu…
Apabila terjadi sesuatu(malapetaka), masing-masing mengaku dengan semangat, “Aku Islam”…
Tapi apabila dituntut berjuang, dia katakan “nanti dulu”…
Islam hari ini hanya seminar, Islam hari ini hanya pidato, Islam hari ini hanya kongres…
Sedangkan Islam itu jauh dari kehidupan kita yang sebenar… “

Marilah sama-sama kita rendahkan diri dan muhasabah akan perbuatan dan hati…

Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang beriman yang berjaya. Amin

Wednesday, May 9, 2007

Jalan Yang Secara Bodoh Dihalang ; Siapa ?



Jalan yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w melalui Islam yang diperturunkan Allah sudah ada, siapa pula yang menghalang jalan itu ?, mengapa pula mahu dihalang ?, atau mereka ini buta ?. Ini kisahnya ;

Ada sesuatu yang menarik dengan Pesta Jom Heboh yang telah diadakan di Ipoh minggu lepas. Ini adalah Karnival Jom Heboh sulong buat anak-anak negeri Perak. Diberitakan didalam senarai jemputan VVIP, Sahibus Samahah Dato Mufti Perak adalah orang yang ke 18 dalam senarai jemputan tersebut…?

Sungguh ideal apabila tokoh tertinggi ugama negeri yang kuat menyuarakan penentangannya terhadap pesta yang dulunya dikenali sebagai Pesta Sure Heboh itu dijemput turut sama bagi memeriahkan majlis.

Diberitakan juga, “handphone” Sahibus Samahah Dato Mufti tak henti berdering apabila umum mengetahui yang rombongan jom heboh itu akan singgah ke Perak.

Kalau suara tokoh ulama tertinggi dalam hirarki organisasi ugama tidak lagi didengar dan dihormati… siapa lagi…?

Karnival jualan – O.K, tapi konsert – K.O

Sedikit maklumat berguna di :- http://www.zaharuddin.com/v1/sureheboh.htm


*Saya mohon maaf kalau ada yang tidak gembira dengan fakta @ kenyataan entri ini. Saya hanya sekadar cuba menimbulkan suasana ini sebagai satu contoh kecil yang mana kita hari ini, tidak lagi beriman dengan sabda Rasulullah s.a.w (yang berbunyi) ; “Ulama itu adalah pewaris Nabi” - Mereka yang menjadi penerus kepada kerja-kerja nabi itu tidak lagi diletakkan pada paksi.

Tuesday, May 8, 2007

Mengislamkan Panggung ! Bagaimana? – Siri 1


Ada suatu kisah ;

Sofea : Najib !, kau dah tengok cerita “Cinta” ?
Najib : Belum, aku baru teringat nak ajak kau pergi tengok, nak tak ?
Sofea : Ehh…, kalau kau nak belanja aku apa salahnya, bila kau nak pergi ?
Najib : Malam ni pukul 9:00… ok ?
Sofea : ‘Set’… ‘dinner’ aku malam ni kau ‘support’ sekali ekk…
Najib : Ialah, memang dasar lah kau ni.
Sofea : Ermm… Jib, kita ajak Raudhah sekali nak tak ?
Najib : Eh…, ajaklah, apa salahnya, kalau kau nak ajak sekali mak, ayah dengan adik beradik kau pun ok, “Aiman tak kesah”… pakcik, makcik, sepupu-sepupu kau tak nak ajak sekali ke ?
Sofea : Hoi… lahabau betul kau ni, jaga sikit mulut kau tu ekk !
Najib : Ishk… aku gurau je lah, tak payahlah nak ‘emo’ pulak. Betullah aku cakap ni, ajaklah sekali si Raudhah tu. Hah, itu pun dia datang.
Sofea : Dah !, jom ikut kita orang malam ni pegi tengok wayang ?
Raudhah : Tengok wayang ?, cerita apa ?
Najib : Cerita ‘Anak Bapak’, hahaha…
Sofea : Ehh kau ni… bukanlah, tengok cerita ‘Cinta’, aku dengar cerita ni best, jomlah !. Aku ambik kau malam ni, o.k ?
Raudhah : Aku belum pernah lagi pergi tengok wayang, ‘best’ sangat ke tengok wayang ni ?, apa yang ‘best’ sangat tu ?
(Najib dan Sofea tanpa henti menghamburkan segala hujah bagi meyakinkan Raudhah tentang betapa seronok dan nikmatnya menonton wayang ; skrinnya besar, bunyinya sedap, suasananya selesa. Pendek kata semuanya ‘best’, rugi kalau tak pegi ke panggung wayang menonton-sebab langsung tak sama suasananya macam di rumah)
Sofea : Habis tu macam mana, jadi tak malam ni ?
Najib : Haa… nak pergi tak ?
Raudhah : Ermm… taknak lah.
Sofea & Najib : Kenapa pulak ?
Raudhah : Takut-takut kalau haram.
Najib : hah… haram !, apa yang haramnya, apa la kau ni.
Sofea : Ntah kau ni Dah, mengarut betullah…

Berangkat dari sebuah hadith nabi, yang mana Rasulullah s.a.w diriwayatkan bersabda ;

“Barangsiapa yang memelihara dirinya dari perkara-perkara syubhat itu, samalah seperti ia telah melindungi agamanya dan kehormatannya(dari kata nista orang lain), dan barangsiapa yang tersungkur ke dalam perkara-perkara yang syubhat itu akan terjerumus pula ke dalam perkara-perkara yang haram”

Suasana dalam panggung senantiasa menghantui fikiran orang-orang seperti Raudhah. Percampuran lelaki wanita dan suasana gelap dalam panggung tidak akan menyelesakan mereka. Apatah lagi panggung wayang ini juga gah namanya bagi mereka-mereka yang mahu ‘buat wayang’ – tak ke ada unsur syubhah / syubhat namanya tu.

Rasulullah s.a.w ada bersabda lagi dalam suatu hadith yang lain ; mafhumnya ;

“Tinggalkanlah apa yang meraguimu kepada apa yang tiada meraguimu”

Sesungguhnya Bahagian dari yang haram itu adalah syubhah / syubhat dan berhati-hatilah dengan sebahagian dari produk barat yang paling hangat ini(panggung wayang acuan mereka).

Dengan dua buah potong hadith nabi tadi, saya menutup entri mengislamkan panggung siri-1 ini dengan firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 7 ;

“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya”

Amat menyedihkan pada hari ini, dimana kita yang mengakui Rasulullah s.a.w itu sebagai pesuruh Allah dan nabi, tapi dalam masa yang sama, kita mendurhakai nabi dengan mengingkari segala wasiat, pesanan dan peringatannya. Marilah kita bersama-sama memperbetulkannya dan bersama dalam gerakan promosi pembudayaan syariat ini.

* Terima Kasih kerana membaca, nantikan Entri Mengislamkan Panggung – Siri 2.

P/S : Anda semua dirayu agar meninggalkan pandangan & idea dalam ruangan “Comment” – Agar buah-buah fikiran anda bagi usaha mengislamkan panggung ini dapat dicadang, dipromosi dan direalisasikan.

Monday, May 7, 2007

Kejayaan Sekolah Fantasia


Kenalkah anda dengan gadis ayu ini ?. Muslimah yang kelihatannya selalu keberatan untuk bersalaman dengan sang lelaki ini semakin membikin kemeriahan dalam berkonsert.

Biarpun simanis ini bertudung, jangan terkejut kalau sekiranya dia disuruh melakukan tugasan sekolah fantasinya. Kalau “berjalan kucing” atau “beraksi keras” bagi estetika kamera, dia pasti mengembirakan guru-gurunya. Aksi gedik manjanya pasti tidak menghampakan.

Selepas “Ratu”, “Idol” & “Diva”, kita diperkenalkan dengan satu lagi gelaran baru.
Bukan “Datin” atau “Puan Seri” tapi “Muslimah Rock”.

Dengan keringat usaha yang bersungguh mengepak-ngepakkan tangan dan kaki sambil menonjol-nonjolkan isyarat rock pada tangan, dia berjaya mendapatkan gelaran itu dari juri.

Aliran apa lagi ni ?

*Saya belum bersedia rasanya nak beri komen terhadap perkembangan ini.

** Maaf pada peminat gadis ini.

Sunday, May 6, 2007

Mengislamkan Panggung ! Dari Sini Mulanya.


Jumaat malam Sabtu yang lalu, rasa terlalu payah untukku lelapkan mata. Tiba-tiba peti televisiku yang memang sudah sedia dalam keadaan pasang terpampang meriah dengan wajah anak-anak gadis manis. Sepertinya ini sebuah cerita yang menarik(wajah molek - tarikan biasa di Malaysia), sebuah cerita yang dileretkan dengan gerak serta alunan muzik shahdu dan layangan longlai tubuh anak gadis mengikut gerak romantis yang dikisahkan dalam cerita ini buat aku tertanya-tanya, “Eh… ! cerita apa ni ?, macam best je”. Rupanya aku sedang menyaksikan “G&g” atau “Gol & Gincu”.

Fikiranku terus mengufuk ke memori benak tentang kenyataan seorang teman(wanita) mengenai cerita ini. Dia dipetik sebagai berkata, “G&g is Todays - The real story of us”. Rasanya bagus juga kalau aku nikmati intipati dan mesej cerita dari filem yang disirikan dalam drama ini.

Wanita-wanita cantik dengan pakaian moden kemegahan yang serba serbi ketat dan sendat. Dikenakan juga dengan seluar 'tak cukup sifat' - senteng(patutlah ditimpa musibah banjir), ada juga perempuan comel gebu berseluar pendek labuh. Mereka bersemangat terkangkang dan terkial-kial dipadang futsal, mundar mandir tekejar-kejar sebiji bola bersaiz kepala orang untuk disumbat ke gawang lawan. Ada ketikanya, perkelahian mereka harus ada yang memulakan dengan aksi menarik rambut. Kelihatan juga sidara bersendirian datang menziarahi siteruna yang keseorangan dirumahnya(lara sungguh kelihatan lelaki ini - kesian). Dara mengetuk pintu, teruna buka, dara ucapkan kata cinta, daun pintu ditolak agar terbuka lebih luas lagi(ucapan jemputlah masuk cara romantik agaknya), dara masuk dan pintu pun ditutup(wah hebatnya orang Malaysia sekarang).

Seperti yang dijangka, kisah cinta luar biasa tanpa sempadan ini sememangnya saling tak tumpah mirip benar dengan filem atau drama-drama bersiri remaja lain yang datang dari Hollywood ataupun Eropah. Suatu kisah cinta antara lelaki dan wanita(lesbian atau gay belum disentuh kot-saya tak pasti) yang sekali sekala bertembung beradu kehebatan bermain futsal(kongsi hobi - ini adalah aktiviti berfaedah yang dipromosikan mereka).

Intipati ceritanya mudah, secubit rangkaian kisah cinta remaja dan asam garam bercinta. Sekelumit krisis percintaan dan persahabatan. ‘Klise’ dan ‘tipikal’ dari cara penyampaian(cerita jenis ini sememangnya payah nak lari dari dua perkataan tadi), cinta yang baik perlu pengorbanan, pencinta terbaik pula terkorban. Cinta jahat dan pencinta yang jahat macam biasa main kayu tiga tapi berjaya dalam percintaan dan permainan tipudaya mereka.

Isinya kosong seperti tiada apa yang boleh disimpan pada ruang pengisian. Tanpa menafikan temanya yang agak menarik, tetapi mesejnya menyesatkan(nak kata takde mesej macam ade). Suatu garapan penceritaan yang bisa menarik perhatian tapi kosong dalam erti nilai. Mesej terbaik cerita ini ialah “Respect, Respond And React”(ala-ala 3R). Jadilah pencinta yang baik, jujur, setia dan sanggup korbankan apa saja, kerana pencinta jahat pasti akan kalah dan dihukum dengan aib sekali akibat kecurangan dan penipuan mereka.

Cerita ini juga mungkin rasanya seakan mirip iklan “deodorant” di Tv, ataupun promosi jualan murah “singlet” berjenama. Atau mungkin saja ini adalah satu lagi propaganda produk-produk penjagaan kulit dengan menggunakan duta-duta manis yang emangnya payah nak terkena sakit kulit(seminggu/sebulan sekali ke salon-kuman tak sempat nak bertelur).

Lama sungguh rasanya neratif penceritaan dan mazhab filem/drama yang sebegini dibiarkan mengembang dalam masyarakat. Aku mengajak semua yang prihatin, bersama dalam kerja agama ini.

Mengislamkan panggung !, bagaimana melakukannya ?… Di sini ianya bermula.

* Terima Kasih kerana membaca, mudah-mudahan ini menjadi siri mukadimah & nantikan entri berikut mengenainya.

Saturday, May 5, 2007

Merindu Kepastian

Andai kau menjadi pelangi
Biarku jadi awannya
Agar kita selalu bersama
Andai kau menjadi sang duyung
Biarku jadi karangnya
Agar kita sentiasa bersua
Andai kau menjadi merpati
Biar ku jadi sang bayu
Agar kita sering bertemu
Andai kau menjadi puisi
Biarku jadi melodi
Bersama kita bernyanyi
Andaiku menjadi rembulan
Sudikah engkau menjadi kejora hingga pagi nanti
Andai esok aku menjadi tanah
Sudikah engkau menjadi bunga menghiasi dadaku

Bait-bait puisi suci Art Fadzil dalam lagunya ; Merindu Kepastian.


* Mungkin ada yang tanya Art Fadzil ni siapa ?

Friday, May 4, 2007

Perpaduan Dan Perbalahan Yang Salah Pasang


Mesej PERPADUAN masih belum selesai. Ahlan Wasahlan pada PERPADUAN. Rasa kecewa dengan sikap ketua-ketua negara dan seluruh barisan pimpinan negara-negara Islam sejak sekian lama sangat menyakitkan. Seruan Taqrib masih terlalu banyak tanda soal dikalangan umat. Pejuang pelbagai aliran dan mazhab seperti Salafi, Khalafi, Mu’tazilah, Jahamiyyah, Haruriyyah, Ja’fariyyah, Asy’ariyyah, Jabariyyah, Maturidiyyah, Qadariyyah, Wahabiyyah ataupun Rafidhah(Syiah) semakin berjurang dan giat berperang dalam berhujjah.(Senarai aliran & mazhab terlalu panjang - tidak mampu dilengkapkan di sini).

Lebih mengecewakan lagi apabila sifat Ekstrem yang tidak diajar tetapi muncul secara tiba-tiba dalam diri mereka membawa kepada peristiwa-peristiwa pembunuhan dan peperangan saudara. Dengan alasan mahu menegakkan Islam mereka mengkafir dan membida’ahkan saudara seagama. Membunuh anak-anak kecil dan nenek atau lelaki tua pada mereka berpahala, sikap “perjuangan berani babi” mereka mendorong untuk berkhidmat sebagai pengebom berani mati. Bagi mereka, saudara seagama(tidak sealiran) yang mahu membeli barang-barang keperluan di pasar dan yang sedang menikmati juadah buat mengubat lelah adalah musuh, kafir nyata dan harus mati.

Saya memetik firman Allah dari kalamnya dalam surah Al-Fath, ayat yang ke 29 ;

“Nabi Muhammad s.a.w ialah rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang(memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri(umat Islam)”.

Allah berfirman lagi dalam surah Al-Maa’idah, ayat ke 54 ;

“Mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,”

Dengan beralasan kita berada di zon akhir zaman, maka saya idealkan saja fenomena ganjil ini, yang saya maksudkan ialah ; Bersatu dengan musuh dan sebaliknya berbalah dengan yang seagama. Berbaik, berdamping dan menyanjungi musuh manakala sebaliknya memusuhi, menjauhi dan mencela saudara seagama – Pelik bukan ?

Rata-rata dari kalangan kita semuanya sedia maklum(tapi tak tahulah faham atau tidak) dengan istilah-istilah seperti, “Propaganda Barat”, “Penjajahan Bentuk Baru”, “Penjajahan Idea & Budaya” dan macam-macam lagi. Dalam usaha pemasaran pelbagai “Isme” ini, pastinya semuanya melihat Amerika sebagai dalang. Haruskah mereka saja yang perlu di persalahkan ?

Kesalahan terbesar kebanyakan negara Islam adalah kerana mereka membenarkan “Isme” ini masuk tanpa tentangan dan gangguan ke dalam negara, yang mana akhirnya maragut roh dan jiwa anak-anak muda terhadap agama dan bangsanya.

Ketika negara-negara ini dahaga dengan pembangunan fizikal, haus dengan pelbagai pembangunan infrastruktur dan keperluan materi, mereka mengimport kepakaran barat(selepas kejatuhan kepimpinan Islam, Eropah terus bangkit dari zaman gelapnya dengan ilmu yang mereka curi dari dunia Islam – manakala umat Islam pula sibuk berpecah & berbalah sama sendiri). Sedar atau buat-buat tidak sedar, selain dibangunkan dengan “KFC”, “McDonald’s” dan “A&W” kita juga di hadiahkan dengan bermacam produk mereka yang lain. Dari politik, sosial sampailah ke agama, segalanya diimperialis, dikapitalis dan dinasionaliskan, segala sosok tindak tanduk berperibadi dan cara berorganisasi semuanya di liberal dan di sekularkan.

Bolehkah anak remaja kita hidup tanpa “McDonald’s” dan segala produk barat yang lainnya ? – Saya biarkan soalan ini tergantung(mungkin saudara ada jawapannya).

Antara budaya asalan barat yang paling berbudaya dalam masyarakat(khususnya dalam negara yang terkenal dengan istilah “Kita Boleh”) ialah “budaya individualistik”.

Virus jahat budaya individualistik ini mematikan banyak sendi dalam beragama dan bermasyarakat. Saya teringat akan pesan rasulullah s.a.w dalam sabdanya ;

“Barangsiapa diantara kamu yang melihat sesuatu perbuatan mungkar, maka hendaklah kamu mencegahnya dengan tanganmu ; jika tidak mampu cegahlah dengan lisan ; dan jika tidak mampu juga cegahlah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman”.

Natijah omokan promosi pelbagai “Trend” dan budaya ini, akhirnya melemahkan iman dalam setiap jiwa anak muda sekaligus menghilangkan jatidiri seorang Islam dan orang timur – Jadilah kita semuanya sebagai apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w sepertimana dalam hadith tadi iaitu manusia yang paling lemah imannya. Kenapa pula ?

Kerana Amar Ma’ruf kita sedikit, dan Nahi Mungkar kita lemah.

Samada kita mahu mengakuinya atau tidak, Amerika, Yahudi dan seluruh dunia barat sebenarnya telah berjaya dengan muslihat halus mereka. Berbaloikah kita bercakaran dan mengebom sama sendiri ?

Gerakan agama di malaysia ini sudah kelihatan seakan mencirikan apa yang telah berlaku di dunia Arab. Perbalahan, percakaran dan pertelagahan sesama aliran serta perdebatan hangat tentang masalah-masalah furu’ di pentas dakwah mengecewakan. Adakah kita di rantau ini sebahagian daripada percaturan jahat global barat dan Yahudi ?

Sudah bersediakah kita dah sudahkah anak remaja kita di siapkan bagi menghadapi peperangan ideologi ini ?. Redhakah kita sekiranya umat kita di Malaysia ini dilapah seperti umat Islam di Iraq ?. Merelakan umat kita jadi seperti ikan laga atau ayam yang dilagakan adalah zalim – Lihat saja Palestin, apa bantuan dan tindakan kita ?

Maka adakah salah sekiranya kita bersatu dibawah satu tuhan, bawah satu rasul, bawah satu agama ?, berhati-hati dengan barat dan menyantuni pada mereka yang seagama.

Thursday, May 3, 2007

Hibernasi...


Berhibernasi dengan diri dalam kelam laksana mati. Bangkitkan rasa hidup dengan angan dan cita-cita yang segar... mari kita diskusi lagi...