Thursday, May 31, 2007

Yang Bertudung Itu Lebih Sombong… ?


Benarkah wanita yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak bertudung ?. Ataupun tudung itu satu isu, dan sombong itu pula satu isu yang lain.

Apabila ada yang berkata, “mengapa Allah masih belum beri jawapan walaupun sudah bertahun aku solat istikharah kepadanya”. Saya terus teringat akan cerita seorang teman kepada teman saya. Katanya, “apabila sekiranya seseorang itu berada didalam keadaan dilema untuk memilih teman(kekasih), mereka rajin solat istikharah, tapi mereka bukannya ketemu jawapan, malah mereka makin serabut dan buntu. Jadi apa kata buat begini. Tuliskan nama-nama orang yang kita dilemakan itu di atas beberapa kepingan kecil kertas, kemudian gulung setiap kertas tadi dan letakkan dibawah sejadah tempat kita mahu lakukan solat istikharah. Kertas yang tertulis nama si dia yang paling kita berkenan sekali, kita letakkan gulungan itu ditempat yang paling hujung sekali(tempat strategik yang paling mudah untuk kita capai). Kemudian dirikanlah solat istikharah dan apabila selesai solat, rabalah tangan dibawah sejadah tadi dan buatlah cabutan terhadap kertas-kertas yang bertulis nama tadi”. Pasti anda dapat jawapannya dan gerenti puas hati.

Saudari pembaca,
Kalau ada yang terkejut, tak mengapa. Saya lebih terkejut dengan soalan-soalan pelik yang mereka ajukan kepada tuhan mereka sendiri. Ini bukanlah bidaah ciptaan teman kepada teman saya itu, tapi dia menunjukkan sikap sinisnya terhadap isu ini. Kita terus-terusan bertanya mengapa panggilan kita tidak disahut tuhan apabila diperlukan. Mengapa tak bertemu dengan jawapan ?, mungkin kita hanya nampak perkara-perkara yang fakta sahaja. Hinggakan hikmah Allah tak mampu kita baca atau tafsir. Allah berfirman didalam surah Al-A’Raaf, ayat yang ke 55 ;

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”

Sememangnya kita menyedari yang sesungguhnya kita ini hanyalah hamba tuhan yang lemah lagi tidak berdaya. Jadi apabila kita menghajati sesuatu, kita meminta pada si dia yang maha kuasa. Tapi adakah ianya kena dengan gaya, cara, diri, sifat, sikap dan adabnya ?. Atau mungkin kalau sekiranya Allah memberikan jawapan secara fakta sekalipun, kita masih seakan tidak nampak kerana jawapan yang diberikan Allah itu tidak selari dengan kehendak si pemohon.

Firman Allah didalam surah Al-Baqarah ayat 186 memberikan sedikit jawapan kepada soalan tadi. Allah berfirman mafhumnya ;

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya aku(Allah) sentiasa hampir(kepada mereka) ; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku(dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul”.

Allah berfirman lagi didalam surah yang lain, iaitu dalam surah Al-Ghafir, ayat yang ke 60 ;

Dan Tuhan kamu berfirman : “Berdoalah kamu kepadaku nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina”.

Jadi jawapannya ada pada diri si pemohon itu sendiri. Kesombongan, riak dan bongkak akan mencacatkan segalanya. Kalau sekiranya kita kerap ke Masjid, selalu berjemaah dan rajin bersedekah lalu dengan itu kita merasakan yang diri kita sudah cukup benaran baiknya, itulah sebenarnya kesombongan. Dan jika kita merasakan usaha kita sudah cukup gigih, kuat, dan hebat, yang mana cuma Allah sahaja yang masih belum mahu menyahut permohonan dan seruan kita dengan jawapan, maka itulah yang dinamakan riak dan bongkak. Nah, buka lagi mata agar hati kita juga dibuka sama, kerana dalam hal ini, Allah menyatakan dengan jelas sekali didalam surah Al-Alaq, ayat 6-7, Allah menyebut mafhumnya ;

“Ketahuilah ! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup”.

Iya, benarlah Allah itu menurunkan sesuatu penyakit beserta dengan penawarnya, tetapi penawar itu tidak semestinya ubat. Kerana ia boleh jadi saja dalam bentuk lain seperti hukuman ataupun undang-undang. Namun tujuannya tetap satu, iaitu menjadi penawar kepada penyakit. Begitulah Sunnatullah yang penuh hikmah.

Rasulullah s.a.w ada bersabda ; mafhumnya ;

“Ada tiga perkara yang akan membawa kepada kehancuran : iaitu sifat kikir yang diperturunkan, hawa nafsu yang diikutkan dan kagum terhadap diri sendiri”.

Saudari pembaca,
Biarpun kita mempunyai tiga gulung ijazah sarjanamuda, dua gulung sarjana dan satu PHD. Mana mungkin kesarjanaan, prinsip, kefalsafahan, idea dan bakat kita menafsirkan teori atau membina teori sendiri itu mampu untuk setanding dengan kitab Allah dan wasiat rasulnya.

Jangan kita jadi seperti iblis sepertimana yang dibicarakan oleh Allah didalam surah Al-A’raaf ayat 12 itu. Nasihat jangan dibunuh dengan kesombongan. Takabbur, bangga diri, angkuh dan ponggah adalah penyakit rohani yang makan dalam dan makan tahun untuk diubati. Jadi jangan kita suburinya lagi.

Daripada hujah tadi dipetik maka ada yang bersuara, yang bertudung itu lebih sombong daripada yang tidak, ramai dari golongan yang bertudung itu mengaku diri mereka baik dan berugama. Malahan ada juga sekelompok kecil mereka yang rajin solat, puasa, sedekah dan kiammullail merasakan diri mereka sangat-sangat dekat dengan Allah tetapi selalu tertanya-tanya mengapa soalan didalam solat istikharah mereka masih belum terjawab. Tidak kurang juga antara mereka yang menjadi manusia teoritikal lalu dicocok-cocok fikiran mereka kedalam agama. Segalanya difahami dan ditafsir secara harfiahnya sahaja, maka segalanya mesti logik dan boleh diterima akal(termasuklah perkara-perkara yang ghaib, yang tak di capai akal cetek manusia).

Saya akhiri dengan pengakuan Imam As-Syafie yang secara terbuka mengakui bahawasanya dialah manusia yang paling berdosa dimuka bumi ini. Apatah lagi kita…

Takut-takut kalau inilah gejalanya, akan lahirlah nanti lebih ramai Lina Joy di luar sana...

6 comments:

Naeema said...

Salam
Saya sgt2 setuju dgn pendapat anda. Dari pemerhatian saya, kebanyakan manusia yg 'sombong' tetap dgn kesombongan mereka melainkan ditimpa kesusahan. Dan pada masa itu barulah lahir 'keinsafan' yg tulus dr hati mereka. Itulah sebabnya orang yang lebih banyak diuji oleh Allah lebih merendah diri dan tawadhu'. Juz my 5-cent point of view.

Sofwah said...

Salam,

Sekadar menambah -

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak ada seorang muslim pun yang berdo`a dengan sesuatu do`a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya.”
(Imam Ahmad)

Apabila berdo'a, kita sebenarnya menyerah segalanya kepada Allah... Segala yang sukar-sukar berlaku setelah berdo'a adalah ujian dariNya.. harus yakin ada hikmah disebaliknya...

Harus yakin Dia sentiasa bersama kita!
"ALLAHU MA'ANA!"
Allah bersama kita!

Ini bab taqwa...

Dan antara bimbingan berdo’a untuk dikongsi malam Juma'at ini:
1. Diawali dengan arhamar raahimiin, hamdalah dan shalawat
2. Yakin akan dipenuhi
3. Rendah hati dengan suara lembut
4. Merendahkan suara
5. Dengan rasa takut dan penuh harap

Sekali lagi, jelas kita lihat ia mengenai bab ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t...

Wallahu'alam...

Wassalam.

Anonymous said...

apa-apa lah labu.........

mama said...

bukan ke nak solat istikharah kena hati yang bersih, tenang & xboley serabut+hati lebey kepada yang kita nak?

maksudnya, berserah totally pada Allah...


maaf, mama cetek ilmu n guna bahasa biasa xmacam haris hauzah dan rakan2.

Anonymous said...

apa yang mama cakap betul...
tapi kebanyakan yang di zaman sekarang ambil pengertian perkataan sahaja, bukan dengan pemahaman akal. contohnya, kes nak kawin tu, ada tiga jejaka menanti untuk dipilih... yang mana satu ye... nak terima A, B pun kacak. nak terima B, C apa kurangnya.... sebab dah pening sangat... ohh.. buat solat istikharah. tapi diri tu solat 5 waktu memanjang hanya 4/5 (itu pun kalau yang lain tu tak terlupa laa)... sebab subuh terlalu dingin untuk mengenakan tubuh ke air...
baju .. ya berlengan panjang dan bertudung tapi ketat-sendat-jarang-sampai-nampak-warna-coli-hari-ni-kalau-melompat-atau-angkat-tangan-mesti-nampak-pusat...
belum masuk "ahh" atau bermalas-malas nak menurut suruhan emak... jadi macam mana nak dapat barokah solat sunat tu?

hmmm... melihat kebanyakan golongan muda sekarang yang menjadikan senario gugurkan anak satu trend masa kini, saya jadi tertanya-tanya...

salah ustazah tidak mengajar bab halal haram di sekolah kah?

atau...

salah ibu bapa yang lost control anak sendiri?

atau...

salah masyarakat yang mengalami modenisasi hingga bolayan hal orang lain walau jiran sendiri? {rasanya di kampung masih ada yang belum moden tapi kenapa ada juga kes gugurkan anak di balik semak dan rumah kayu?)

atau..

salah diri sendiri kerana belajar hanya untuk dapat A1 subjek Agama Islam (kalau tak dapat malu la beb)?

hmmm.. boleh buat tajuk assignment ni...

mrs haris

Sofwah said...

Salam,

persoalan-persoalan yang sangat baik, mrs haris...

kalau ingin menilai perkembangan insan dari perspektif Islam, kita boleh mulakan dari proses penyemaian benih sehinggalah pertumbuhan dalam kandungan, sehingga pemupukan peribadi solehah dan muslihah di awal kehidupan, dan kemudiannya, kita nilai pula pendidikan Islam yang tersedia dalam pendidikan formal, samada mentarbiah jiwa atau tidak... walaupun "al-umm/ibu/emak" tetap madrasah jiwa yang terbaik...

Belum sentuh lagi struktur sosial dari segi sosiologi atau anthropologi yang menyumbang ke arah segala yang sumbang-sumbang dalam masyarakat ini kerana al-Khalik sangat jauh dari diri...

Wallahu 'alam...

Memang topik menarik :)
Memang kalau buat tesis, boleh panjang berjela!!!

Wassalam.