Tuesday, May 15, 2007

Mazhab Dan Aliran Sesat – Wahai Sang Bloggers Jangan Berdiam Lagi !!!



Tahniah kepada sebuah akhbar aliran perdana kerana telah membuat pendedahan mengenai kegiatan segelintir orang-orang seni yang menyebarkan fahaman karut melalui karya-karya mereka(sudah sekian lama saya menantikannya). Inilah yang saya sebutkan sebagai karya-karya bermazhab sesat yang sarat dengan mesej-mesej yang menyesatkan(ada dalam entri mengislamkan panggung).

Memang karya mereka indah dan menyeronokkan, manakan tidak, kalau melayari kehidupan di dunia bagaikan syurga pasti saja segalanya seperti berada di alam pelangi. Garapan dan skema sentuhan berunsur ‘trend’ yang sememangnya menjadi anutan belia masakini menjadikan karya mereka berada pada piawai yang baik, relevan, menarik dan dirasakan dekat dengan masyarakat khususnya golongan ‘target’ mereka iaitu remaja.

Berbangsa Melayu dan dilahirkan sebagai Islam. Mereka ini memilih fahaman ‘freethinker’ sebagai pengganti kepada agama mereka. Dengan berlatarbelakang pendidikan yang baik, mereka memperjuang hidup sebagai orang seni. Penulis, penyajak, pelakon, pengarah, pemuzik jalanan atau artis seni visual, sesungguhnya mereka adalah insan seni yang kreatif, sensitif, halus dan dekat dengan masyarakat. Mereka juga dikenali sebagai manusia yang mempunyai daya juang yang tinggi.

‘Freethinker’ beraliran agnostik, atheis atau rasionalis, mereka kebanyakannya terpengaruh dengan beberapa tokoh falsafah barat seperti Friedrich Nietzsche, Soren Kierkegaard, Lord Byron, Karl Marx dan beberapa tokoh lain lagi. Dengan menjadikan karya penulisan beberapa tokoh tadi selain buku-buku penulis berhaluan kiri Indonesia sebagai ‘kitab’, mereka ini juga dipercayai mendapat bantuan kewangan daripada NGO luar negara yang sentiasa memberikan insentif kepada sesiapa sahaja yang mahu merosak, mencemar dan memusnahkan Islam dan PERPADUANnya serta nilai budaya dalam masyarakat timur.

Mempercayai bahawa tuhan tidak wujud dan manusia berkuasa penuh terhadap nasibnya sendiri, mereka ini memperjuangkan apa yang mereka imani, didalam nashkah-nashkah teater dan penulisan drama, filem dan blog mereka. Mereka juga bergerak sebagai aktivis dan pejuang hak asasi manusia yang merasakan masyarakat Melayu Islam di Malaysia kini dihambat oleh hukum agama dan budaya timur yang sudah ketinggalan zaman.

Nah… Saudara saudari ku, apa yang kalian tunggu lagi…
Saya mengambil kesimpulan yang dibuat oleh Imam Habib Abdullah Haddad dalam satu kitab karangannya-‘An-Nashaaih Ad-Diniyah Wal-Washaaya Al-Imaaniyah”, Bab-Bagaimana Mengubah Munkar ?. Imam Habib Abdullah Haddad menyimpulkan seseorang itu hendaklah menjalankan tugas amar ma’aruf nahi munkar dengan apa cara perlaksanaan sekalipun. Hendaklah kita sentiasa membela agama kita yang suci, dan jangan sekali-kali mencari alasan yang tidak betul untuk meninggalkan tugas ini sama sekali, kerana tidak ada jalan lain lagi bagi kita untuk meninggalkan sesuatu yang telah diwajibkan Allah.

Saya mengambil tiga nas sebagai hujjah bagi menyokong sikap saya terhadap apa yang dikatakan oleh Al-Imam Habib Abdullah Haddad. Allah berfirman didalam surah Luqman: ayat yang ke 17 ;

“Perintahlah orang supaya berbuat baik dan laranglah ia dari berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.”

Dalam Surah Al-Imran ; ayat yang ke 104 dan 110 ; Allah berfirman lagi ;

“Wajiblah ada di antara kamu sesuatu umat(golongan) yang menyeru(manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat yang baik dan melarang berbuat jahat. Mereka itulah orang-orang yang berjaya(bahagia).”
(Al-Imran : 104)

“Kamu sekelian adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan, dan kamu beriman kepada Allah.”
(Al-Imran : 110)

Saudara saudariku,
Sesungguhnya kelompok golongan yang menyesatkan ini sedang giat mengatur strategi dalam gerakan mereka. Sungguhpun kumpulan ini masih dianggap minoriti dan dianggap tidak merbahaya oleh sesetengah pihak, mereka tetap masih punyai taring dan misi penyebaran yang sudah terbukti berhasil.

Sedang kita sibuk dengan dunia, mengejar kedudukan, pangkat dan harta. Jangan pula kita buat-buat buta akan azab zaman moden yang dibawa oleh ejen-ejen musuh ini. Fikirkanlah masa depan anak-anak kita. Mereka yang dibuai dengan keseronokan dan hiburan, seharusnya dipaut dan diikat dengan prinsip, kesarjanaan dan kefalsafahan agama. Mudah-mudahan mereka kebal dengan peluru-peluru musuh nanti.

Marilah kita bersama buat kerja untuk agama. Suburkan nilai semangat Islam dalam personaliti, prinsip, keluarga, masyarakat, pimpinan dan kerja sehingga tersebar ke nashkah-nashkah penulisan, pentas, drama, filem dan segala apa juga hasilan seni yang dekat dengan masyarakat ini. Agar akhirnya nanti seruan Ad-Din yang di bawa Islam dalam kehidupan masyarakat tertegak kukuh kembali.

Marilah kita bersama-sama memartabat dan memperkasakan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam gerakan pembudayaan syariat – Jangan durhakai Allah dan Rasulnya lagi.

Bersama awas dan perangi mereka… Allahuakbar !!!


* Semoga lebih ramai blogger yang sentiasa menyelitkan mesej-mesej Islam dalam blog mereka.

No comments: