Sunday, May 6, 2007

Mengislamkan Panggung ! Dari Sini Mulanya.


Jumaat malam Sabtu yang lalu, rasa terlalu payah untukku lelapkan mata. Tiba-tiba peti televisiku yang memang sudah sedia dalam keadaan pasang terpampang meriah dengan wajah anak-anak gadis manis. Sepertinya ini sebuah cerita yang menarik(wajah molek - tarikan biasa di Malaysia), sebuah cerita yang dileretkan dengan gerak serta alunan muzik shahdu dan layangan longlai tubuh anak gadis mengikut gerak romantis yang dikisahkan dalam cerita ini buat aku tertanya-tanya, “Eh… ! cerita apa ni ?, macam best je”. Rupanya aku sedang menyaksikan “G&g” atau “Gol & Gincu”.

Fikiranku terus mengufuk ke memori benak tentang kenyataan seorang teman(wanita) mengenai cerita ini. Dia dipetik sebagai berkata, “G&g is Todays - The real story of us”. Rasanya bagus juga kalau aku nikmati intipati dan mesej cerita dari filem yang disirikan dalam drama ini.

Wanita-wanita cantik dengan pakaian moden kemegahan yang serba serbi ketat dan sendat. Dikenakan juga dengan seluar 'tak cukup sifat' - senteng(patutlah ditimpa musibah banjir), ada juga perempuan comel gebu berseluar pendek labuh. Mereka bersemangat terkangkang dan terkial-kial dipadang futsal, mundar mandir tekejar-kejar sebiji bola bersaiz kepala orang untuk disumbat ke gawang lawan. Ada ketikanya, perkelahian mereka harus ada yang memulakan dengan aksi menarik rambut. Kelihatan juga sidara bersendirian datang menziarahi siteruna yang keseorangan dirumahnya(lara sungguh kelihatan lelaki ini - kesian). Dara mengetuk pintu, teruna buka, dara ucapkan kata cinta, daun pintu ditolak agar terbuka lebih luas lagi(ucapan jemputlah masuk cara romantik agaknya), dara masuk dan pintu pun ditutup(wah hebatnya orang Malaysia sekarang).

Seperti yang dijangka, kisah cinta luar biasa tanpa sempadan ini sememangnya saling tak tumpah mirip benar dengan filem atau drama-drama bersiri remaja lain yang datang dari Hollywood ataupun Eropah. Suatu kisah cinta antara lelaki dan wanita(lesbian atau gay belum disentuh kot-saya tak pasti) yang sekali sekala bertembung beradu kehebatan bermain futsal(kongsi hobi - ini adalah aktiviti berfaedah yang dipromosikan mereka).

Intipati ceritanya mudah, secubit rangkaian kisah cinta remaja dan asam garam bercinta. Sekelumit krisis percintaan dan persahabatan. ‘Klise’ dan ‘tipikal’ dari cara penyampaian(cerita jenis ini sememangnya payah nak lari dari dua perkataan tadi), cinta yang baik perlu pengorbanan, pencinta terbaik pula terkorban. Cinta jahat dan pencinta yang jahat macam biasa main kayu tiga tapi berjaya dalam percintaan dan permainan tipudaya mereka.

Isinya kosong seperti tiada apa yang boleh disimpan pada ruang pengisian. Tanpa menafikan temanya yang agak menarik, tetapi mesejnya menyesatkan(nak kata takde mesej macam ade). Suatu garapan penceritaan yang bisa menarik perhatian tapi kosong dalam erti nilai. Mesej terbaik cerita ini ialah “Respect, Respond And React”(ala-ala 3R). Jadilah pencinta yang baik, jujur, setia dan sanggup korbankan apa saja, kerana pencinta jahat pasti akan kalah dan dihukum dengan aib sekali akibat kecurangan dan penipuan mereka.

Cerita ini juga mungkin rasanya seakan mirip iklan “deodorant” di Tv, ataupun promosi jualan murah “singlet” berjenama. Atau mungkin saja ini adalah satu lagi propaganda produk-produk penjagaan kulit dengan menggunakan duta-duta manis yang emangnya payah nak terkena sakit kulit(seminggu/sebulan sekali ke salon-kuman tak sempat nak bertelur).

Lama sungguh rasanya neratif penceritaan dan mazhab filem/drama yang sebegini dibiarkan mengembang dalam masyarakat. Aku mengajak semua yang prihatin, bersama dalam kerja agama ini.

Mengislamkan panggung !, bagaimana melakukannya ?… Di sini ianya bermula.

* Terima Kasih kerana membaca, mudah-mudahan ini menjadi siri mukadimah & nantikan entri berikut mengenainya.

No comments: