Friday, May 11, 2007

Jalan Yang DiHalang-Siapa Yang Bodoh Dan Siapa Yang Diperbodoh



Di dalam entri saya sebelum ini-iaitu entri “Jalan Yang Secara Bodoh DiHalang ; Siapa ?”. Secara sengaja saya tonjolkan sikap orang kita hari ini yang mendurhakai nabi serta memperlekehkan apa yang Baginda Rasulullah s.a.w sabda dan wasiatkan kepada kita ummatnya.

Kali ini, saya memperlihatkan lagi sebuah catitan hitam tentang kejahilan kita. Atau mungkin saja kali ini kita mendurhakai Allah pula. Apa ceritanya, begini…, Allah berfirman di dalam surah Al-Imraan, ayat yang ke 28 ;

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan(larangan) yang demikian maka tiadalah ia(mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu yang bahaya yang ditakuti dari pihak mereka(yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya(menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali”.

Allah secara terang-terangan menjelaskan kepada kita(orang Islam) tentang perintahnya, supaya memilih pemimpin dari kalangan kita sendiri(orang Islam). Jadi mengapa hari ini kita mengangkat dan menyerahkan amanah kepimpinan kita kepada seorang hindu, seorang buddha atau kepada seorang kristian bagi mewakili suara untuk memperjuangkan hak kita ?.

Imam Al-Ghazali di dalam sebuah kitabnya-“Bidayatul Hidayah”, menjelaskan tentang kewajipan orang-orang beriman untuk mengimani ‘Shirath’ dan ‘Telaga Al-Haudh’ ;

Shirath – Shirath adalah jambatan yang terentang di atas tengah-tengah neraka jahannam. Ia lebih tajam daripada pedang dan lebih halus daripada rambut. Dengan kehendak Allah, maka tergelincirlah tumit dan kaki orang-orang kafir dan mereka jatuh ke neraka Jahannam. Tetapi dengan kurnia Allah, akan tetaplah diatasnya segala tumit dan kaki orang-orang yang mukmin. Maka dipersilakanlah mereka memasuki syurga – negeri yang abadi.

Telaga Al-Haudh – Al-Haudh ialah telaga Nabi Muhammad s.a.w yang didatangkan dari syurga. Airnya akan diminum oleh orang-orang mukmin setelah melintasi Shirath sebelum mereka memasuki syurga. Dengan seteguk sahaja kita tidak akan dahaga buat selama-lamanya. Keluasan telaga itu adalah dikirakan perjalanan satu bulan lamanya. Airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Disekelilingnya disediakan cangkir-cangkir sebanyak bilangan bintang-gemilang di langit. Terdapat dua saliran air yang mengalir masuk ke dalamnya yang berpunca daripada telaga Al-Kautsar.

Dengan pendurhakaan ini adakah kita mampu lepas dari Jambatan Shirath dan mendapat syafaat Baginda Nabi dengan meneguk air dari Telaga Al-Haudh ?. Dengan pendurhakaan terhadap firman dan perintah Allah, juga pendurhakaan terhadap sabda dan wasiat Rasulullah s.a.w, mari kita sama-sama muhasabah dan tanyakan pada diri, hamba dan ummat jenis apakah kita ini ?. Mengakui beriman dan bertuhan tapi ingkar. Mengakui beriman dan berasul tapi curang.

Adakah kita mahu mencontohi negara Palestin, yang secara kronologi dari sejarahnya sekiranya dilihat, apa yang berlaku pada mereka hari ini adalah kerana kesilapan mereka yang lampau. Ini kerana mereka memberikan amanah dan hak kekuasan kepada orang Yahudi. Kita tahu “Think Tank” Israel pada waktu itu secara muslihat telah dengan sengaja menaikkan harga hartanah di Palestin, maka berbondong-bondonglah rakyat Palestin menjualkan tanah mereka kepada orang-orang Yahudi kerana mahukan imbuhan wang yang banyak, hinggakan ulama di sana pada waktu itu terpaksa mengeluarkan fatwa bahawasanya perbuatan jual beli itu adalah tidak sah dan haram. Dan apabila suara ulama dibakul sampahkan, maka hasilnya terlihatlah pada negara Palestin hari ini-Inikah yang mahu kita contohi ?.

Saudara-saudaraku, janganlah kalian mendengar pada suara-suara serong. Kerana orang-orang yang bersuara serong ini telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagaimana berbunyi ;
“Aku, selain daripada dajjal yang aku lebih takuti kamu akan terpikat kepadanya itu. “Siapakah dia itu wahai Rasulullah ?”, tanya seorang sahabat yang hadir. “ iaitulah ulama ‘us-su’-ahli ilmu yang jahat”. Jelas baginda”.

Jadi, janganlah kita terpedaya lagi.

Saya mengakhiri entri ini dengan memetik satu ungkapan yang pernah diucapkan oleh seorang ulama terkenal dari Indonesia, iaitu Kiai Haji Zainuddin M.Z. beliau dipetik sebagai berkata ;

“Islam pada hari ini ibarat seperti daun pisang dikala hari hujan…
Yang mana bila hari hujan orang akan mengambil daun pisang bagi dijadikan payung…
Dan apabila usailah hujan…
Maka daun pisang tadi pun dicampakkan dijalanan, dicampak tak bernilai…
Dan dipijak pula oleh orang-orang yang lalu…
Apabila terjadi sesuatu(malapetaka), masing-masing mengaku dengan semangat, “Aku Islam”…
Tapi apabila dituntut berjuang, dia katakan “nanti dulu”…
Islam hari ini hanya seminar, Islam hari ini hanya pidato, Islam hari ini hanya kongres…
Sedangkan Islam itu jauh dari kehidupan kita yang sebenar… “

Marilah sama-sama kita rendahkan diri dan muhasabah akan perbuatan dan hati…

Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang beriman yang berjaya. Amin

2 comments:

Anonymous said...

mudah-mudahan...aminnn....

Anonymous said...

haris hauzah

sememangnya kita nampak tidak layak untuk ke sana, bayangkanlah kalau ada antara sahabat yang mengakui mungkin tidak dapat bertemu dengan rasulullah lagi disana, jadi bayangkanlah kita

Amin