Friday, May 4, 2007

Perpaduan Dan Perbalahan Yang Salah Pasang


Mesej PERPADUAN masih belum selesai. Ahlan Wasahlan pada PERPADUAN. Rasa kecewa dengan sikap ketua-ketua negara dan seluruh barisan pimpinan negara-negara Islam sejak sekian lama sangat menyakitkan. Seruan Taqrib masih terlalu banyak tanda soal dikalangan umat. Pejuang pelbagai aliran dan mazhab seperti Salafi, Khalafi, Mu’tazilah, Jahamiyyah, Haruriyyah, Ja’fariyyah, Asy’ariyyah, Jabariyyah, Maturidiyyah, Qadariyyah, Wahabiyyah ataupun Rafidhah(Syiah) semakin berjurang dan giat berperang dalam berhujjah.(Senarai aliran & mazhab terlalu panjang - tidak mampu dilengkapkan di sini).

Lebih mengecewakan lagi apabila sifat Ekstrem yang tidak diajar tetapi muncul secara tiba-tiba dalam diri mereka membawa kepada peristiwa-peristiwa pembunuhan dan peperangan saudara. Dengan alasan mahu menegakkan Islam mereka mengkafir dan membida’ahkan saudara seagama. Membunuh anak-anak kecil dan nenek atau lelaki tua pada mereka berpahala, sikap “perjuangan berani babi” mereka mendorong untuk berkhidmat sebagai pengebom berani mati. Bagi mereka, saudara seagama(tidak sealiran) yang mahu membeli barang-barang keperluan di pasar dan yang sedang menikmati juadah buat mengubat lelah adalah musuh, kafir nyata dan harus mati.

Saya memetik firman Allah dari kalamnya dalam surah Al-Fath, ayat yang ke 29 ;

“Nabi Muhammad s.a.w ialah rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang(memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri(umat Islam)”.

Allah berfirman lagi dalam surah Al-Maa’idah, ayat ke 54 ;

“Mereka pula bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,”

Dengan beralasan kita berada di zon akhir zaman, maka saya idealkan saja fenomena ganjil ini, yang saya maksudkan ialah ; Bersatu dengan musuh dan sebaliknya berbalah dengan yang seagama. Berbaik, berdamping dan menyanjungi musuh manakala sebaliknya memusuhi, menjauhi dan mencela saudara seagama – Pelik bukan ?

Rata-rata dari kalangan kita semuanya sedia maklum(tapi tak tahulah faham atau tidak) dengan istilah-istilah seperti, “Propaganda Barat”, “Penjajahan Bentuk Baru”, “Penjajahan Idea & Budaya” dan macam-macam lagi. Dalam usaha pemasaran pelbagai “Isme” ini, pastinya semuanya melihat Amerika sebagai dalang. Haruskah mereka saja yang perlu di persalahkan ?

Kesalahan terbesar kebanyakan negara Islam adalah kerana mereka membenarkan “Isme” ini masuk tanpa tentangan dan gangguan ke dalam negara, yang mana akhirnya maragut roh dan jiwa anak-anak muda terhadap agama dan bangsanya.

Ketika negara-negara ini dahaga dengan pembangunan fizikal, haus dengan pelbagai pembangunan infrastruktur dan keperluan materi, mereka mengimport kepakaran barat(selepas kejatuhan kepimpinan Islam, Eropah terus bangkit dari zaman gelapnya dengan ilmu yang mereka curi dari dunia Islam – manakala umat Islam pula sibuk berpecah & berbalah sama sendiri). Sedar atau buat-buat tidak sedar, selain dibangunkan dengan “KFC”, “McDonald’s” dan “A&W” kita juga di hadiahkan dengan bermacam produk mereka yang lain. Dari politik, sosial sampailah ke agama, segalanya diimperialis, dikapitalis dan dinasionaliskan, segala sosok tindak tanduk berperibadi dan cara berorganisasi semuanya di liberal dan di sekularkan.

Bolehkah anak remaja kita hidup tanpa “McDonald’s” dan segala produk barat yang lainnya ? – Saya biarkan soalan ini tergantung(mungkin saudara ada jawapannya).

Antara budaya asalan barat yang paling berbudaya dalam masyarakat(khususnya dalam negara yang terkenal dengan istilah “Kita Boleh”) ialah “budaya individualistik”.

Virus jahat budaya individualistik ini mematikan banyak sendi dalam beragama dan bermasyarakat. Saya teringat akan pesan rasulullah s.a.w dalam sabdanya ;

“Barangsiapa diantara kamu yang melihat sesuatu perbuatan mungkar, maka hendaklah kamu mencegahnya dengan tanganmu ; jika tidak mampu cegahlah dengan lisan ; dan jika tidak mampu juga cegahlah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman”.

Natijah omokan promosi pelbagai “Trend” dan budaya ini, akhirnya melemahkan iman dalam setiap jiwa anak muda sekaligus menghilangkan jatidiri seorang Islam dan orang timur – Jadilah kita semuanya sebagai apa yang disebut oleh Rasulullah s.a.w sepertimana dalam hadith tadi iaitu manusia yang paling lemah imannya. Kenapa pula ?

Kerana Amar Ma’ruf kita sedikit, dan Nahi Mungkar kita lemah.

Samada kita mahu mengakuinya atau tidak, Amerika, Yahudi dan seluruh dunia barat sebenarnya telah berjaya dengan muslihat halus mereka. Berbaloikah kita bercakaran dan mengebom sama sendiri ?

Gerakan agama di malaysia ini sudah kelihatan seakan mencirikan apa yang telah berlaku di dunia Arab. Perbalahan, percakaran dan pertelagahan sesama aliran serta perdebatan hangat tentang masalah-masalah furu’ di pentas dakwah mengecewakan. Adakah kita di rantau ini sebahagian daripada percaturan jahat global barat dan Yahudi ?

Sudah bersediakah kita dah sudahkah anak remaja kita di siapkan bagi menghadapi peperangan ideologi ini ?. Redhakah kita sekiranya umat kita di Malaysia ini dilapah seperti umat Islam di Iraq ?. Merelakan umat kita jadi seperti ikan laga atau ayam yang dilagakan adalah zalim – Lihat saja Palestin, apa bantuan dan tindakan kita ?

Maka adakah salah sekiranya kita bersatu dibawah satu tuhan, bawah satu rasul, bawah satu agama ?, berhati-hati dengan barat dan menyantuni pada mereka yang seagama.

2 comments:

Anonymous said...

salam

apa yang anda maksudkan dengan 'perjuangan berani babi'? kasar sangat bunyinya

amir

Haris Hauzah said...

Salam Amir,

Perjuangan Berani Babi yang saya maksudkan ini ialah suatu perjuangan yang tidak guna akal & fikiran.

Keberanian itu perlu, tapi bila adanya sifat kebabian dalam keberanian berjuang, maka sipejuang tadi tidak akan dapat melihat kebenaran.

Keberanian dalam berjuang yang secara membabi buta inilah yang mencemarkan imej Islam. Kerana mereka tiada dapat membezakan yang mana satu pahala dan yang mana satu dosa. Mereka Samar & kabur dalam menimbang, menilai & menerima yang benar & yang salah.

Mereka hanya ghairah mahu berjuang tetapi perjuangan mereka salah dan tiada redha dalam agama.


Haris Hauzah